Khamis, 25 September 2008

Pembuka selera "Transgenesis 2"

Kebelakangan ini, ramai yang bertanya kepadaku tentang sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba. Ramai yang ingin tahu bila sambungan ini akan menemui pembaca.

Aku hanya mampu katakan bahawa sambungan kisah ini kini di dalam proses penulisan. Namun, proses ini bukanlah satu perkara yang boleh aku lakukan secara berterusan. Ini kerana aku juga punya komitmen lain yang kerapkali terpaksa didahulukan. Setakat mana yang termampu, aku akan meneruskan proses penulisan sambungan kisah ini.

Walau bagaimanapun, sasaran yang telah ditetapkan ialah supaya sambungan ini menemui pembaca menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Aku hanya berdoa agar aku diberikah kekuatan, kesihatan dan kecergasan untuk menulis dan terus menulis.

Bagi pembaca yang menanti dengan penuh sabar, aku perturunkan sedikit cebisan dari bab pertama bahagian kedua siri "Transgenesis" ini. Aku harap cebisan kecil ini mampu memberikan sedikit kepuasan bagi mereka yang setia menanti.

"Siapa dia?" desak Mat Dan.
"Satu makhluk yang penuh dengan dendam yang membara. Satu makhluk yang tidak kenal erti kemanusiaan. Satu makhluk yang lahir akibat keinginan manusia menjadi tuhan," suara Buraquzzaman diulit nada bimbang.
Suasana rimba pada ketika itu tiba-tiba menjadi sunyi. Tiada bunyi mergastua. Tiada bunyi haiwan-haiwan yang menghuni di situ.
"Apa maksud awak?" soal jejaka tinggi lampai lagi kurus itu.
"Kamu berdua telah melepaskan makhluk itu dari penjaranya. Dan dia kini sudah kembali," kata bekas wartawan itu seperti mahu berteka-teki.
"Saya tak faham. Siapa dia? Siapa yang kembali?" Mat Dan terus meminta penjelasan daripada Buraquzzaman.
Mata Mat Dan diperhati tepat oleh Buraquzzaman.
"Dia sudah kembali," katanya, "Dark Flora sudah kembali!"
Cebisan kecil ini sekadar "pembuka selera" dari diriku untuk para pembaca sekalian. Doakan agar penulisan sambungan kisah ini berjalan lancar.

Selasa, 16 September 2008

Catatan blog ke-100: Trivia "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Alhamdulillah, blog ini kini sudah mempunyai catatan yang ke-100. Untuk catatan ke-100 ini, aku mahu coretkan sesuatu yang aku kira sedikit istimewa, iaitu proses ke arah penghasilan Transgenesis: Bisikan Rimba.

Aku bukanlah penulis yang sekadar menulis untuk suka-suka. Setiap yang aku tintakan itu ada kisahnya dan ada pula sebabnya. Begitu juga dengan Transgenesis: Bisikan Rimba. Di bawah ini, aku kongsikan sepuluh trivia di dalam menghasilkan Transgenesis: Bisikan Rimba.

Trivia #1:
Watak Flora sebenarnya pertama kali lahir dari benak fikiranku pada tahun 1992. Ketika itu, aku sedang berkelana menuntut ilmu di bumi kelahiran William Wallace dan Rob Roy, iaitu Scotland. Aku baru beberapa bulan di situ, dan aku bertekad mahu menajamkan penguasaan Bahasa Inggeris di sana. Jadi aku memilih untuk menulis cerita-cerita pendek di dalam Bahasa Inggeris untuk disemak oleh pensyarah bahasa tersebut. Dan satu daripada cerita pendek yang aku tulis (dengan tangan dan bukannya ditaip menggunakan komputer) bertajuk "Flora". Cerpen ini mengisahkan satu makhluk jelmaan pokok yang menyerupai manusia yang membalas dendam ke atas mereka yang "membunuh" pokok-pokok bagi mengaut keuntungan. Walaupun asal-usul watak "Flora" di sini jauh berbeza daripada watak "Flora" di dalam Transgenesis: Bisikan Rimba, tetapi kisah di dalam cerpen ini juga berkisar tentang dendam dan sifat manusia yang tidak bertanggungjawab.

Trivia #2:
Aku membayangkan watak "Flora" atau "Subjek 4-7-9-1" dari novel Transgenesis: Bisikan Rimba ini seperti Jean Grey dari komik popular X-Men. Malah terdapat satu babak di dalam novel ini apabila Flora muncul dari lurah menyelamatkan Datuk Jay yang terjatuh, yang inspirasinya aku perolehi daripada kulit hadapan Uncanny X-Men #101. Bezanya, Flora muncul dari lurah di lereng gunung di dalam hutan manakala Phoenix muncul dari dalam tasik. Dan satu lagi perbezaan ketara ialah Flora menutup aurat!

Trivia #3:
Tracker pula ialah satu watak yang sengaja aku tidak kembangkan terlalu banyak. Sekadar inspirasi watak ini aku perolehi daripada tiga sumber. Pertama, susuk tubuh Tracker aku bayangkan seperti watak mutan bernama Random yang pertama kali muncul di dalam komik X-Factor. Kedua, cara percakapan Tracker yang suka memanggil orang dengan gelaran tertentu ialah seperti watak Paris dari kumpulan Pantheon yang pertama kali muncul di dalam komik the Incredible Hulk. Dan ketiga, kedegilan Tracker untuk "mati" diinspirasikan daripada watak Murdoc dari siri sukaramai pada tahun 1980-an iaitu "MacGyver". Jika ada yang masih ingat, Murdoc sering menjerit "MACGYVER!" pada "saat kematiannya" dan inilah yang dilakukan oleh Tracker pada "saat kematiannya" dengan menjerit "FLOOO!!!" [Apa yang dicatatkan ini sebenarnya memberikan satu klu tentang nasib Tracker yang akan dijawab di dalam bahagian kedua nanti].

Trivia #4:
Watak-watak sokongan seperti Profesor Ned, Tauke Hwang Chien Ming, Dr Kenneth Ramsay, Wak Salamian dan Inspektor Adzwar, serta watak-watak yang hanya disebut tetapi tidak muncul di dalam cerita seperti Pok Li, Datuk Khairul, Datin Noor, Nadzirah dan Sharmini didasarkan kepada orang yang aku kenal. Malah, nama mereka juga aku kekalkan, sekadar aku ubah perwatakan bagi disesuaikan di dalam kisah ini.

Trivia #5:
Pada asalnya, aku ingin gunakan haruman kemboja dan bukannya haruman kenanga sebagai haruman yang sinonim dengan beberapa watak kisah ini. Namun demikian, seorang sahabat mencadangkan agar kenanga digunakan. Dan seorang sahabat lagi memberitahu tentang tujuh bunga wangi yang digunakan di dalam perubatan Melayu, dan salah satunya ialah kenanga. Itulah sebabnya aku ubah kemboja kepada kenanga.

Trivia #6:
Draf pertama novel ini melibatkan watak utama Nenek Melor, dan bukannya Datin Kay. Sekali lagi, atas maklum balas seorang sahabat, aku ubah jalan cerita untuk menjadikannya lebih menarik. Di dalam proses penulisan semula, watak Nenek Melor tidak muncul, sebaliknya diganti oleh watak Datin Kay. Namun, watak Melor ini muncul juga di dalam bentuk yang sedikit berbeza.

Trivia #7:
Aku sebenarnya mempunyai tiga versi kesudahan bagi Transgenesis: Bisikan Rimba. Satu versi mengisahkan Buraquzzaman Baharuddin berjaya menyelesaikan misteri pembunuhan Tauke Hwang Chien Ming dan menjadi wira yang disanjung. Tetapi aku buang versi ini kerana terlalu "biasa". Versi kedua pula melibatkan identiti pembunuh di mana Datin Kay ialah orang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan tauke balak tersebut. Ini juga aku tidak gunakan kerana sekali lagi aku rasakan ia "biasa" sahaja. Versi ketiga ialah pindaan kepada versi kedua. Versi inilah yang digunakan di dalam novel yang telah terbit iaitu apabila aku dedahkan yang sebenarnya ada dalang di sebalik semua yang berlaku.

Trivia #8:
Nama asal watak Buraquzzaman Baharuddin ialah Huzaimi Hazim. Mengapa aku tukar? Itu tidak boleh didedahkan terlebih dahulu, sekadar yang aku boleh katakan "nama itu ialah doa". Insya-Allah jawapannya akan diberi di dalam bahagian ketiga siri ini.

Trivia #9:
Hampir kesemua fakta mengenai bioteknologi di dalam kisah ini ialah fakta sebenar. Yang fiksyen hanyalah bahagian yang melibatkan eksperimen Datin Kay dan eksperimen Dr Ramsay.

Trivia #10:
Aku memuatkan isu bioetika sebagai tema utama novel ini kerana kecewa dengan ketidakprihatinan banyak pihak terhadap kepentingan perkara ini. Aku mengharapkan agar pendekatan mengenengahkan isu bioetika menerusi penulisan kreatif akan membawa kesedaran mengenai isu penting ini kepada masyarakat yang membaca. Tambahan pula, penyelidikan sains tidak wajar sekadar dijalankan demi sains semata-mata. Penyelidikan sains perlu dijalankan dengan rasa penuh tanggungjawab dan rendah diri.

Ahad, 14 September 2008

Suara hati pembaca remaja

Aku sebenarnya baru kembali ke Kuala Lumpur selepas berada di Kedah atas urusan keluarga. Sebaik tiba, tergerak hati untuk memeriksa e-mel dan blog. Aku tersentuh apabila membaca dua maklum balas dari dua orang remaja yang telah membaca Transgenesis: Bisikan Rimba.

Pertama, adik Nur Aqilah yang meninggalkan komen di blog ini.

Assalamualaikum,saya Nor Aqilah,baru berusia 14 tahun.Saya suka sangat baca buku Trangenesis tu. Tapi saya ada soalan Trangenesis akan keluar dgn buku ke-2 ke? sebab ceritanya agak tergantung. Kalau ada,bila ia akn diterbitkan? Harap dapat memberi jwpn pada saya...
Adik Nur Aqilah juga membuat ulasan di blognya. Tulisnya:
Assalamualaikum,

Dah lama aku tak masukkan entri baru bkan apa malas nak taip ni,Penat!! hari ni aku nak citer ttg satu bku yang baru kau baca ni,best la jugak.
Buku ni adalah novel Sci-fic yang pertama aku baca,aku tgk coverpagenya di kedai buku Popular,aku baca sinopsis dan terasa nak beli,tapi malangnya aku takde duit masa tu.Aku pun kumpulkankan duit untuk membeli buku ni,sebab aku tak nak mintak mak aku.
Buku ni berkisah kan teknologi pemindahan genetik tumbuhan pada embrio yang diklonkan daripada manusia. Cita-cita Datin Kay yang ingin mencipta manusia yang sempurna yang boleh membuat makanan sendiri melalui fotosintesis telah membawanya untuk membuka sebuah institut yang diberi nama Institut Trans-DNA.Institut ini telah membuat eksperimen tentang kajian ini secara rahsia...
Suatu hari eksperimen yang diberi nama Subjek 4-7-9-1 telah melarikan diri.Selepas beberapa hari eksperimen itu hilang,berita tentang pembunuhan Tauke balak yang bernama Hwang Chien Ming tersebar keseluruh negara.Berita ini bertambah hangat apabila penulis berita ini,Buraqquzzaman Baharuddin mengaitkan tentang gadis berambut hijau yang membunuh tauke balak itu.Melalui pembunuhan inilah,segala rahsia yang telah disimpan oleh Datin Kay selama hampir 17 tahun mula terbongkar,satu demi satu.
Cerita ini masih punya banyak persoalan,dan penulisnya,Amir Husaini sendiri telah menyenaraikannya melalui soaln Ammar Qusyairi(mungkin nama anak dia)kepada seorang lelaki tua yang menceritakan kisah diatas kepadanya.Apa-apa pun cerita ni memang best..beli dan baca sendiri.tak sia-sia RM24.00 aku...Sekian sahaja Entri aku ari ni...bila agaknya nak keluar yang kedua??
Seorang lagi remaja, adik Siti Nazirah telah meninggal maklum balas di blog Waris Jagat. Terima kasih kepada saudara Waris Jagat yang sudi memanjangkan maklum balas ini untuk perhatianku. Tulis adik Siti Nazirah:
Kepada saudara Amir Husaini, saya sudahpun membaca “transgenesis:bisikan rimba” ini..oleh kerana terlalu tertarik dengan ceritanya, jadi saya pun mencadangkan buku ini kepada mak saya dan beberapa orang rakan saya. Ternyata mereka turut meminati cerita ini walaupun baru 2 orang yang sudah membacanya tidak termasuk mak saya. Sukar bagi saya meyakinkan rakan-rakan saya yang lain kerana mereka kurang tertarik jika penulis lelaki yang mengarang buku. Bagi saya,mereka sangat rugi kerana tidak membacanya terlebih dahulu sedangkan 2 orang rakan saya tadi begitu meminatinya. Di sini saya ingin bertanya,bila saudara ingin menyambung cerita ini kerana mak saya begitu tertarik hingga dia berkata begini “adik,kalau ada sambungan cerita ni,mak sanggup bagi adik duit beli buku tu” menunjukkan mak saya begitu tertarik membaca buku saudara sedangkan selama ini saya harus berjimat dengan duit belanja saya di sekolah untuk membeli buku cerita.Saya pun masih tertanya-tanya bila agaknya buku ini akan bersambung? Saya harap saudara tidak menghampakan peminat-peminat saudara di luar sana.. Wassalam..
Tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan ini apabila membaca suara hati pembaca-pembaca remaja ini. Insya-Allah sambungan Transgenesis: Bisikan Rimba sedang disiapkan dan dijadualkan akan terbit pada suku pertama tahun 2009. Dan sebenarnya, kisah ini ialah satu trilogi, dan bahagian ketiga akan menyusul pada tahun 2010.

Apapun, terima kasih tidak terhingga di atas sokongan dan dorongan semua pihak. Insya-Allah aku akan lakukan yang terbaik.

Isnin, 8 September 2008

Komen terkini "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Aku hanya mampu mengucapkan kalimah tahmid. Di dalam tempoh tiga bulan ini, sudah ada sepuluh ulasan dan maklum balas yang dibuat oleh kalangan blogger mengenai novel Transgenesis: Bisikan Rimba. Terbaru tiga lagi ulasan yang dapat dikesan.

Pertama, ulasan yang dibuat oleh saudara Aiman Akmal. Berikut petikan dari blognya:

Novel Transgenesis: Bisikan Rimba ini dapat saya habiskan sebelum keretapi tiba di perhentian terakhir lagi. Bagi saya, walaupun ia sebuah karya fiksyen sains, pengarang yang sedang menyambung doktoratnya dalam falsafah sains di UM ini, tidak putus-putus dari memasukkan intipati etika , falsafah, dan nilai kemanusiaan dalam tulisannya ini. Malah, unsur nilai-nilai Islam digarapnya begitu baik sekali.

Seingat saya, sebelum ini, jika novel fiksyen atau fantasi, saya lebih cenderung karya inggeris seperti Harry Potter, Chronicles of Narnia, Unfortune Event, Lord of The Ring, Star Wars dsb. Jika adapun novel fiksyen atau fantasi yang berbahasa melayu, masih boleh dibilang dengan jari.

Yang antaranya ialah Advencer si Peniup Ney, 1511Kombat, dsb. Sebabnya novel melayu yang selalu saya baca kebanyakkannya berunsur kehidupan dan ‘cinta’.

Hendaknya selepas ini saya akan lebih memberi ruang kepada minda saya ini untuk mengembara ke alam fantasi hasil karya novelis-novelis Muslim supaya boleh mendakatkan lagi kepada Maha Pencipta. Ini yang saya rancangkan. Moga-moga diberkati Allah. Wallahu’alam.

Ulasan kedua ialah dari Kak Wan Amalyn, seorang resensor yang terkenal di dalam dunia blog ini. Tulis Kak Wan:

Transgenesis : Bisikan Rimba adalah karya kedua Amir Husaini yang aku baca selepas Ombak Senja. Kali ini Amir Husaini tampil dengan 'wajah' yang berbeza. Kisah tentang teknologi pengklonan antara manusia dan hidupan alam ciptaan Allah yang berkongsi bumi yang sama. Ia sebuah kisah sains fiksyen.

Segalanya bermula dengan pembunuhan misteri Hwang Chien Ming seorang tauke balak di hutan simpan Gunung Pulai bersaksikan Razilan, pekerjanya. Pembunuhan oleh 'makhluk serba hijau' menjadi tanda tanya dan menimbulkan persoalan kepada orang ramai akan 'siapa' atau 'apa' makhluk yang didakwa menjadi pembunuh misteri tersebut.

Buraquzzaman Baharudin, wartawan akhbar tabloid Semboyan Nasional ditugaskan untuk 'cover' tentang pembunuhan tersebut. Ekoran daripada laporan tersebut menyebabkan Institut Trans-DNA sebuah institut penyelidikan genetik, tidak senang duduk kerana ia ada kaitan dengan rahsia penyelidikan mereka.

Kehilangan subjek 4-7-9-1 memaksa Datin Kay selaku pengasas Institut Trans-DNA dan Datuk Jay, seorang usahawan yang menjadi penyumbang dana bagi membiayai penyelidikan di institut tersebut menubuhkan sepasukan pencari yang disertai oleh mereka sendiri selain daripada Profesor Joned Jauhar, Tracker dan beberapa orang lagi sebagai penunjuk jalan untuk mencari subjek 4-7-9-1.

Walau bagaimanapun pencarian subjek 4-7-9-1 bukanlah semudah yang disangkakan. Pelbagai kejadian aneh mengekori mereka. Rupanya ada rahsia yang cuba diselindungkan dari pengetahuan umum. Satu rahsia yang telah dibungkus kemas berbelas-belas tahun yang lalu bahkan ada rahsia lain yang terselindung di balik rahsia yang cuba disembunyikan.

Flora - si gadis manis mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh manusia biasa. Dia manusia istimewa. 'Kelahiran'nya juga adalah melalui satu proses yang panjang dan rumit. Ia lahir hasil daripada pengklonan antara manusia dan tumbuhan yang memaksa sejumlah 4790 klon embrio terpaksa dikorbankan. Tapi benarkan semuanya berjaya dilupuskan??

Pembunuhan misteri, kebuntuan pihak polis dalam menjalankan siasatan pembunuhan ke atas tauke balak dan keghairahan wartawan membongkar kejadian aneh telah menyebabkan tersingkapnya tabir rahsia yang cuba diselindungkan bertahun-tahun yang lampau.

Benarkah Flora atau subjek 4-7-9-1 yang membunuh?? Atau ada subjek lain yang menjadi dalang pembunuhan misteri tersebut?? Nak tahu siapa atau bagaimana..?? Anda yang perlu membuat 'kajian' sendiri.

Apa yang dapat aku katakan adalah, aku suka karya terbaru Amir Husaini ini. Ia ada kelainannya. Apa yang membuatkan aku kagum adalah cara penulis mengolah plot cerita yang pada awalnya kita nampak bagaikan jalan lurus tetapi sebaliknya ada lencongan 'di depan sana' yang tidak terjangka dek fikiran kita. Begitulah jalan cerita ini. Jangan sangka jalan lurus tiada simpang yang menanti.!!

Penulis berjaya memanipulasi pembaca terutamanya aku kerana setiap telahan dan andaian yang bermain di kepala tatkala sedang membacanya adalah salah sama sekali. Setiap andaian yang aku cuba lakarkan dalam kepala aku menjadi berantakan apabila tiba pada titik kemuncaknya.

Tahniah pada penulis. Satu lagi karya yang aku pasti para pembaca yang gemarkan genre 'Sci-Fic' harus membacanya.

Dan aku harap ada kesinambungannya kerana banyak lagi persoalan yang sampai ke noktah terakhirnya tetap menimbulkan tanda tanya yang berlegar di kepala aku... dan yang pastinya aku ingin tahu siapa 'Atuk' tu?? Amir.... siapa 'atuk' tu??!! Shocked

Dan yang terbaru, ulasan daripada Waris Jagat:

Transgenesis ialah sebuah sai fai tentang sebuah eksperimen yang gagal atau jadi huru hara (macam yang selalu ditulis oleh Michael Crichton*). Apabila eksperimen gagal ini mula mengorbankan nyawa, maka beberapa orang yang berkepentingan mula cuba untuk menyembunyikan hakikat ini. Walaubagaimanapun, ada pula pihak lain yang cuba untuk membongkar misteri ini.

Transgenesis memaparkan pandangan kedua-dua pihak (dan juga ‘hasil-hasil’ eksperimen tersebut). Oleh itu kita tahu motivasi semua pihak. Antagonis dan protagonis digarap supaya kita memahami mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan. Mungkin ini akan sedikit menghilangkan elemen misteri dalam penceritaan tetapi percayalah bahawa banyak lagi yang disembunyikan oleh Amir Husaini.

Transgenesis ialah sebuah sai fai dan ini ditunjukkan dengan banyak perbualan antara watak tentang cabang sains biologi dan genetik (tidak lupa juga etika). Sebuah sai fai yang baik (pada pendapat saya) mestilah menyertakan persoalan falsafah dan Trangenesis juga tidak menghampakan saya dalam perkara ini.

Di samping itu, Amir Husaini tidak lupa memasukkan elemen islamik serta ketuhanan dalam Transgenesis. Saya yang terdedah dengan sai fai barat harus akui bahawa sedikit janggal dengan campuran ini. Ini ialah percubaan yang berani. Pada masa sai fai barat sangat memusuhi agama, elemen keagamaan adalah satu yang agak menyegarkan dan juga memberi satu identiti kepada sai fai melayu.

Apa yang saya juga suka dengan Trangenesis ialah kejutan yang diberikan pada penghujung cerita. Saya memang tidak sangka bahawa kisah ini akan bersambung, walaupun sebenarnya cerita yang terkandung di dalam buku ini sendiri ’self contained’. Babak ala Sherlock Holmes pada penghujung juga memang sangat sureal buat saya.

Transgenesis ialah sebuah bacaan yang baik serta mempunyai identitinya tersendiri dengan mesej islamik dan moralnya. Ceritanya lancar dan penuh misteri. Tahniah Amir Husaini!

*Michael Crichton selalu menghasilkan karya sai fai yang bertemakan “Frankenstein”. Sains yang cuba bertindak seperti Tuhan akan selalunya membawa kemusnahan (lihat Jurassic Park dan Timeline).

Aku ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan mengulas novelku ini. Sokongan dan dorongan kalian amat dihargai.

Ahad, 7 September 2008

Tersirat di dalam pemakaian kain samping

Ini satu lagi perkara menarik yang aku pelajari dari syarahan Pak Tenas Effendy pada 14 Ogos lalu, iaitu tentang mesej tersirat di dalam pemakaian kain samping. Kain samping memang sinonim dengan pemakaian baju Melayu. Namun aku perhatikan, ada bermacam-macam fesyen yang dikenakan bila kain samping dipakai.

Menurut Pak Tenas, kain samping yang diikat tinggi (bermakna bahagian bawahnya berada di atas lutut si pemakai), memberi makna bahawa si pemakai masih belum berkahwin.

Kain samping yang diikat rendah (iaitu bahagian bawahnya berada di bawah lutut si pemakai), memberi maksud bahawa si pemakai telah berkahwin.

Manakala, kain samping yang dipakai hingga hampir ke tumit kaki memberi mesej bahawa si pemakai ialah seorang yang berilmu (lazimnya guru atau ustaz) yang dihormati di dalam masyarakat kerana ilmunya.

Nampaknya selepas ini, kenalah aku pakai kain samping melepasi lutut. Satu maklumat berguna bagi pemakai baju Melayu generasi baru.

Selasa, 26 Ogos 2008

Catatan Pesta Buku Malaysia

Ini cerita lama sebenarnya. Pada 2 Ogos 2008 yang lalu, aku bersama-sama rakan-rakan penulis yang lain iaitu Hani Ismail, Kusyi Hirdan dan Ashadi Zain berada di dalam satu sesi bertemu penulis dan autograf di gerai PTS sempena Pesta Buku Malaysia.

Gerai PTS sayangnya terletak di hujung. Walaupun terletak di hadapan pentas utama, gerai ini juga terletak di sebelah gerai Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Dan banyak aktiviti untuk kanak-kanak diadakan di gerai PNM ini menyebabkan laluan ke gerai PTS ini terhalang sewaktu kami berada di sana. Jadi tak ramailah pengunjung yang melepasi "tol kanak-kanak" ini untuk ke gerai PTS.Walau bagaimanapun, pengalaman bersama rakan-rakan penulis ini amat aku hargai. Itu kali pertama aku bertemu Ashadi Zain, dan kali kedua aku bertemu Kusyi Hirdan. Hani Ismail entah sudah berapa ratus kali aku berjumpa, hehehe. Tidak ketinggalan, wira sastera jantan PTS iaitu saudara Mat Jan juga berada di situ.

Rabu, 20 Ogos 2008

Kebijakan Melayu

Lagi mengenai syarahan Pak Tenas Effendy yang aku hadiri minggu lalu. Pak Tenas menggunakan istilah "kebijakan Melayu" untuk merujuk kepada hikmah kebijaksanaan orang-orang Melayu dahulu di dalam berkomunikasi. Komunikasi ini kaya dengan falsafah yang tersirat yang difahami oleh generasi tersebut. Sayangnya, "kebijakan" itu telah hilang daripada generasi kita hari ini.

Satu contoh mudah. Mengikut budaya Melayu-Islam, kita wajib meraikan tetamu. Apabila tetamu datang bertandang, kita wajib menghidangkan apa jua yang ada di rumah untuk tetamu tersebut. Ada ketikanya, kita tidak ada apa-apa untuk dihidangkan. Si tuan rumah akan bertanya, "Sudah makan?" Si tetamu, apabila mendengar soalan yang dimulakan dengan perkataan "sudah" itu, seharusnya memahami bahawa si tuan rumah tidak ada apa-apa untuk dihidangkan. Jadi, jawapan yang perlu diberikan ialah, "Sudah."

Satu lagi contoh. Katakan di rumah hanya tinggal si isteri. Si suami tiada di rumah. Tetapi tiba-tiba datang seorang lelaki yang merupakan sahabat kepada si suami yang keluar tadi. Adab Melayu menuntut supaya tetamu dijemput naik, tetapi tidaklah manis jika yang ada di rumah hanya si isteri. Jadi si isteri akan bertanya kepada tetamu tersebut, "Tak singgah dulu?" Dan si tetamu yang datang itu seharusnya faham, apabila jemputan itu dimulakan dengan perkataan "tak," maka ini bermakna tiada orang lelaki di rumah itu. Dan jawapan yang perlu diberikannya juga ialah, "Tak."

Andai kata di rumah kita ada makanan untuk dihidangkan, kita akan menjemput tetamu makan dengan berkata, "Jemput makan." Dan andai kata di rumah ada si suami, maka si isteri akan menjemput tetamu masuk ke rumah dengan berkata, "Silalah masuk."

Begitu kaya sekali kesantunan Melayu yang sarat dengan falsafah. Aku berharap generasi hari ini dapat memahami dan menghayati keindahan yang sudah mula hilang dan terhakis ini. Aku bimbang jika generasi hari ini melupakan kesantunan Melayu ini, maka "kebijakan Melayu" yang disebut oleh Pak Tenas akan turut lenyap ditelan zaman.

Khamis, 14 Ogos 2008

Yang secupak takkan jadi segantang

Pagi tadi, atas undangan guru doktoratku, aku telah menghadiri satu syarahan umum anjuran Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Tengku Nasyaruddin Syed Effendy bin Haji Tengku Syed Umar Muhammad (atau lebih dikenali sebagai Tenas Effendy). Mendengar syarahannya bertajuk "Falsafah Melayu Islam Menghadapi Kepelbagaian" mengundang rasa insaf pada diriku. Ada ketikanya juga terasa sebak di dada apabila menyedari suatu perkara yang selama ini tersalah faham atau tidak difahami.

Pak Tenas Effendy yang usianya sudah mencecah 72 tahun ialah seorang yang boleh kita ibaratkan sebagai gedung ilmu bergerak berkenaan budaya Melayu-Riau. Beliau mengumpul dan menyimpan lebih 10,000 pantun dan 20,000 bidalan Melayu. Pendek kata, Pak Tenas Effendy ialah seorang dokumentator adat dan budaya Melayu.

Aku teruja mendengar syarahan ini. Banyak perkara baru yang aku perolehi terutamanya mengenai ungkapan-ungkapan Melayu yang disalah tafsir atau disampaikan bukan di dalam bentuk yang penuh. Inilah yang menyebabkan generasi hari ini melihat ungkapan-ungkapan Melayu (yang sebetulnya kaya dengan hikmah kebijaksanaan orang terdahulu) sebagai ungkapan-ungkapan yang terkebelakang atau membawa konotasi negatif.

Insya-Allah aku akan kongsikan perkara-perkara yang aku perolehi ini dari semasa ke semasa. Untuk kali ini, aku ingin kongsikan mengenai ungkapan "Yang secupak takkan jadi segantang." Ungkapan ini sering ditafsir oleh generasi hari ini sebagai ungkapan yang bersifat negatif kerana seolah-olah orang Melayu tidak mahu berusaha untuk menambahkan rezeki, sekadar berpuas hati dengan apa yang ada. Tafsiran seperti ini sebenarnya jauh tersasar. Betapa dalamnya falsafah Melayu-Islam di dalam menggalakkan usaha dan ikhtiar apabila kita melihat ungkapan tersebut di dalam konteks yang sepenuhnya.

Konteks sepenuhnya bagi "Yang secupak takkan jadi segantang" ialah seperti yang diperturunkan di bawah ini:

Adat hidup orang beriman
Daya upaya ia jalankan
Ke laut ke darat tiada segan
Ke hulu ke hilir tiada enggan
Ilmu ditimba sepanjang masa
Bekal hidup di atas dunia
Bekal mati pada ujungnya
Bekal tak sudah berkira-kira
Bekal terwujud sehabis daya
Rezeki dicari sebilang hari
Penat letih tiada peduli
Jauh dekat sama dihampiri
Mencapai maruah dan tuah diri
Mencapai niat berbuah budi
Mencapai maksud Melayu jati
Apabila ikhtiar sudah cukup
Yang usaha sudah habis
Yang mujur tak dapat diraih
Yang malang tak dapat ditolak
Yang nasib sudah bertentu
Yang takdir sudah tersurat
Yang suratan sudah berlaku
Yang daya sampai hadnya
Yang upaya sampai batasnya
Yang ikhtiar sampai pucuknya
Yang sepompat takkan jadi sekal
Yang sekal takkan jadi secupak
Yang secupak takkan jadi segantang
Yang sejengkal takkan jadi sehasta
Yang sehasta takkan jadi sedepa
Yang sukatan sudah dipepas
Yang timbangan sudah bertentu
Di situ iman diteguhkan
Di situ dada dilapangkan
Di situ akal dipanjangkan
Di situ hati dipukalkan
Di situ diri direnungkan
Begitu indah sekali ungkapan ini di dalam konteks yang penuh (yang pastinya ramai yang tidak ketahui, termasuklah diriku). Ungkapan ini dimulakan dengan ayat yang menunjukkan bahawa inilah amalan orang yang beriman. Ungkapan ini merungkaikan konsep berikhtiar, berusaha dan akhirnya bertawakal. Apabila semua sudah dilakukan barulah diserahkan kepada Allah SWT untuk menentukan balasannya. Dan akhir sekali, ditekankan aspek muhasabah dan takwa kepada Yang Maha Esa.

Alangkah cantiknya ungkapan ini. Alangkah besar dan dalam maknanya. Sarat dengan falsafah yang memandu tindakan orang yang beriman. Begitu indahnya budaya Melayu-Islam ini sebenarnya. Sayangnya kita tidak sedar.

Insya-Allah akan dikongsikan perkara-perkara lain di dalam catatan akan datang.

Rabu, 13 Ogos 2008

Masih mengenai "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Hampir dua minggu aku tidak mengemas kini blog ini. Aku jenguk ke sini hampir setiap hari tetapi entah, rasa sedikit malas untuk memasukkan catatan baru. Bukannya tidak ada perkara hendak dicatatkan, namun terasa berat untuk mencatat. Mungkin hambatan tugas di pejabat, tanggungjawab di rumah dan proses menulis tesis doktorat menyebabkan aku sedikit "letih."

Walau bagaimanapun, aku bersyukur kerana di dalam tempoh lebih kurang sebulan, sudah ada tujuh ulasan atas talian mengenai Transgenesis: Bisikan Rimba. Tiga ulasan yang terbaru adalah seperti berikut:

Dari blog "Another Side of Myself," komen daripada saudari Xara:

"Arghh... habis?! Tamat begitu sahaja?!" Jerit saya apabila sampai ke penghujung bab.

Cerita bermula apabila seorang budak lelaki menegur seorang lelaki tua yang gemar bercakap dengan sebatang pohon kenanga. Lelaki itu membuka cerita dengan kisah pembunuhan seorang tauke balak oleh seorang gadis berambut hijau. Kemudian, dari situ ia membawa kepada Burraquzzaman (mana da dapat nama?) seorang wartawan, Razilan; saksi utama kejadian, Prof Joned, Datuk Jay dan Datin Kay. Mereka semua ingin menjejaki si gadis berambut hijau yang menggelarkan dirinya sebagai Flora.


Perjalanan itu membuka kepada seribu satu rahsia yang telah tersimpan lama. Rahsia yang telah dipendam berbelas-belas tahun sehinggalah kepada rahsia yang tersimpan daripada zaman pasca Perang Dunia kedua. Ia bercerita bagaimana akibatnya jika manusia mahu melangkaui kuasa tuhan dan melanggar etika kemanusiaan dan batas agama.

Kata kuncinya adalah, "segala-galanya berkait antara satu sama lain,". Menurut 'pencerita', kisah ini sangat panjang. Walaubagaimanapun, dengan menutup kisah watak jahat utama, ia membuka kepada banyak lagi persoalan yang perlu dirungkaikan. Mungkin selepas ini ada sebuah dua lagi buku untuk menghuraikan semua perkaitan. Apa pun, buku ini sangat menarik untuk dibaca dan tidak terlalu sukar untuk difahami.

Aaa... Encik Amir Husaini, cepatlah sambung!
Kemudian, dari blog "My Kingdom of Books," komen daripada saudari Welma La'anda:
Transgenesis Bisikan Rimba adalah novel Sci-Fi pertama yang saya baca untuk keluaran PTS. Saya beranikan diri membelinya walaupun beranggapan mungkin novel cantik ini akan mengecewakan, maksud saya dari segi bahasa yang boleh membawa saya menghayati. Amir Husaini nama yang asing buat saya. Saya tidak pernah membaca karyanya dan tidak tahu bagaimana gayanya menulis. Oleh itu, saya tidak boleh membaca 'falsafah penulisannya'.
Namun ketika membaca Transgenesis (pada mulanya saya tidak perasan tajuk novel ini Transgenesis Bisikan Rimba, ingatkan Transgenesis sahaja) pada beberapa halaman permulaan, " eh, bagus pula", sehinggakan saya boleh takut pada bab pembunuhan Hwang Chien Ming. Saya fikir kalau saya duduk bersendirian di rumah, besar kemungkinan saya tidak akan meneruskan pembacaan. Saya beranggapan, "mula-mula ja kot, bagus", tetapi rupa-rupanya sampai ke muka surat terakhir, saya masih kata "eh, buku ni baguslah".

Saya tidak mahu bercerita dari A-Z apa yang dikisahkan dalam novel Sci-Fi ini seperti kebiasaan resensi pada sebelumnya. Saya cuma mahu bangkitkan persoalan kerana novel ini memang banyak persoalan. Lagi satu, kalau saya ceritakan secara lengkap, takut-takut nanti hilang pula 'suspen' apabila anda membacanya.

Flora, Subjek 4-7-9-1, Prof Kay, Prof Joned Jauhar, Dr Ramsay, Ixora, Razilan, Buraquzzaman adalah nama-nama yang saling berkait dalam Transgenesis. Hwang Chien Ming dibunuh oleh seorang gadis yang bermata dan berambut hijau di sebuah kawasan pembalakan Gunung Pulai. Razilan pekerja kepada Hwan Chien Ming menyaksikan pembunuhan itu. Siapa gadis bermata dan berambut hijau itu? Adalah dia hasil eksperimen Prof Kay atau makhluk lain atau khayalan Razilan sahaja?

Subjek 4-7-9-1 yang mahu dikenali sebagai Flora telah melarikan diri dari Institut Trans-DNA sebuah institut penyelidikan genetik yang diasaskan oleh Prof Kay. Flora adalah hasil eksperimen yang diterajui oleh Prof Kay dan diteruskan oleh Prof Joned yang melibatkan pemindahan gen tumbuhan ke dalam tubuh manusia. Apakah kelebihan Flora dengan memiliki gen-gen tumbuhan ini di dalam tubuhnya selain daripada memiliki mata dan rambut berwarna hijau? Flora bukan manusia normal yang lahir daripada persenyawaan antara sperma lelaki dan perempuan tetapi melalui hasil klon Prof Kay sendiri. Oleh kerana itu wajahnya hampir seiras dengan wajah Prof Kay ketika usia mudanya dan ini cuma disedari oleh suami Prof Kay, Datuk Jay setelah melihat wajah yang seiras Flora di Gunung Pulai.

Sebanyak 4790 cubaan klon telah dibuat tetapi tidak berjaya dan akhirnya cubaan yang ke 4791 berjaya setelah Prof Kay menggunakan kaedah lain. Apakah yang terjadi kepada embrio-embrio sebanyak 4790 itu? Ketika Flora melarikan diri dari Institut Trans DNA, bagaimana dia boleh melepaskan diri begitu mudah sekali? Siapakah yang telah membantunya dan kenapa Gunung Pulai dipilih sebagai destinasi?

Siapa pula Dr Ramsay yang tiba-tiba sahaja wataknya muncul entah bab yang ke berapa? Apakah yang telah terjadi kepadanya dan apa kaitan dirinya dengan Ixora sehingga Ixora telah berjaya membuat Prof Kay tertuduh sebagai pembunuh Hwang, sedangkan Ixora pada mulanya cuma setiausaha Datuk Jay, suami Prof Kay. Sekali baca, ya, memang kelihatan Prof Kay yang membunuh. Tetapi adakah betul Hwang Chien Ming dibunuh oleh Prof Kay atau ada cerita lain di sebalik? Siapakah sebenarnya Prof Kay dan apa kaitannya dengan haruman kenanga yang sentiasa sinonimnya dengan dirinya?

Persoalan yang paling penting dalam Transgenesis : Siapakah yang membunuh Hwang Chien Ming. Persoalan ini masih tidak terjawab sehingga ke halaman terakhir.. Mungkinkah Prof Kay, klon Prof Kay yang menyerupai Flora, atau ...? Siapakah dalang sebenarnya dalam cerita ini, adakah Ixora, atau mungkin Prof Joned, atau Datuk Jay atau......? Entahlah, saya tidak berani meneka kepada semua persoalan ini, mungkin kerana saya sudah biasa tersalah teka dalam Transgenesis.

Saya tidak sangka sama sekali novel ini akan ada sambungannya walaupun penulis tidak menyatakan secara jelas akan siri lanjutan itu. Cuma, berdasarkan penghujung cerita yang tergantung itu dan persoalan-persoalan yang masih belum terjawab, maka saya yakin, Transgenesis ada Siri ke-2. Saya dapat rasakan dalam Siri ke-2 itu nanti pasti kisahnya melibatkan Prof Kay atau Kenanga dengan 6 orang saudaranya yang terpisah setelah satu kejadian yang ada kaitan dengan Dr. Ramsay. Ehm, agaknya betul atau tidak jangkaan itu?

Transgenesis Bisikan Rimba bukan sekadar menceritakan dunia sains klon semata-mata tetapi ia juga cuba menyampaikan makna sains dengan mengetengahkan perbezaan pendapat antara Prof Kay dan anak muridnya Prof Joned serta Dr Jauhar dan Dr Ramsay.

Prof Kay dan Dr Ramsay beranggapan bahawa sebarang ujikaji sains tidaklah harus disekat walaupun ia bertentangan dengan etika dan kemanusiaan. Mereka juga cuba menganggap pencapaian sains tidak ada kena mengena dengan Tuhan tetapi ianya semua disebabkan oleh keajaiban sains. Tetapi Prof Joned dan Dr Jauhar tidak bersetuju dengan pendapat itu. Agama dan sains tidak boleh dipisahkan. Jikalau ada cubaan ke arah itu, maka manusia akan cuba melanggar fitrah dan seolah-olah cuba mencabar kekuasaan Tuhan. Lambat laun, manusia juga akan menemukan kehancurannya di atas perbuatan diri sendiri.

Saya suka beranggapan Transgenesis Bisikan Rimba bukan novel Sci Fi yang kosong. Definisi novel Sci Fi yang kosong buat saya ialah novel yang cuma gah dengan kisah-kisah sains, teknologi dan fantasi tetapi tidak ada mesej yang boleh membawa pembaca berfikir tentang Tuhan. Sebuah karya yang hanya gah pada tulisan dan kisah, tanpa mesej yang jelas akan hanya membawa mulut membaca, tetapi sebuah karya yang boleh membawa pembaca menilai baik dan buruk serta makna kehidupan akan membawa hati turut membaca!

Semoga Transgenesis Bisikan Rimba akan terus membuka hati pembaca untuk jangan angkuh dengan kehebatan diri dan cuba mencabar kekuasaan Tuhan. Nanti padah kembali pada diri. Saya menanti kemunculan Transgenesis Bisikan Rimba Siri 2. Saya berharap resensi untuk Transgenesis Siri ke-2 itu nanti akan menjadi pelengkap kepada resensi ini!
Dan akhir sekali, daripada blog "Dunia Novel Darius," ulasan oleh saudara Darius:
Di mana harus Darius mulakan ulasan ini? Mungkin elok kita mulakan dari kulit hadapan. Ternyata kulit hadapan Transgenesis: Bisikan Rimba (T:BR) ialah di antara kulit hadapan yang paling menarik yang pernah dihasilkan bagi sebuah novel. Jika diletakkan di atas rak buku, pasti kulit novel ini akan menonjol. Ada unsur-unsur kreativiti dan originality pada kulit novel ini.

Cerita yang menjadi isi novel ini ialah cerita berkenaan penyalahgunaan teknologi.
T:BR merungkai persoalan apakah yang akan berlaku apabila manusia mahu menjadi tuhan. Novel fiksyen sains ini sarat dengan persoalan-persoalan falsafah dan etika yang menyebabkan pembaca berfikir.

Dari segi teknik penceritaan, Darius memang tertarik daripada bab pertama lagi. Membaca bab pertama sahaja telah mampu mengheret pembaca "masuk" ke dalam cerita. Penulis berjaya membawa mood sinematik di dalam penceritaannya. Misteri dan rahsia diulit dengan penceritaan menyebabkan pembaca sukar melepaskan novel ini kerana pembaca sering diletakkan di dalam keadaan tertanya-tanya tentang apakah yang akan berlaku selepas itu. Dan seperti yang dikatakan oleh beberapa pengulas lain, sering tekaan dan telahan pembaca tentang apa yang akan berlaku tersasar sama sekali. Penulis berjaya membuat twist yang tidak disangka - tetapi logikal - terhadap ceritanya.

Sukar sebenarnya untuk mengulas novel
T:BR ini tanpa memberikan spoiler. Walaupun demikian, cukup sekadar Darius nyatakan bahawa kisah yang bermula dengan satu pembunuhan di pinggir hutan membawa kepada terbukanya pelbagai rahsia yang tersimpan erat hampir lima dekad. Dan Darius pasti pembaca akan tertarik dengan watak yang penuh enigma iaitu gadis istimewa bernama Flora.

Syabas kepada penulis.
Darius tak sabar menantikan sambungan kisah ini.

Kata
Darius: Novel fiksyen sains yang terbaik tempatan yang pernah Darius baca.
Terima kasih kepada semua yang sudi mengulas dan membaca Transgenesis: Bisikan Rimba. Sokongan kalian amatlah dihargai.

Khamis, 31 Julai 2008

Ada apa dengan saifai?

Saifai - nama glamor bagi genre fiksyen dan fantasi sains - ialah satu genre yang masih kekurangan penulis. Namun bukanlah bermakna kita ketandusan penulis di dalam genre ini. Aku pernah ulas tentang perkara ini di dalam blog ini beberapa ketika yang lalu. [Klik sini dan sini untuk bacaan lanjut]. Rasanya sudah hampir setahun aku tidak mengulas perkara ini. Maka izinkan aku untuk melanjutkan komentar mengenai fiksyen dan fantasi sains di dalam kesempatan yang ada pada kali ini.

Aku ke Universiti Malaya pagi tadi untuk menghadiri satu perbincangan mengenai bioteknologi. Semasa berbicara tentang tahap kefahaman bioteknologi di kalangan masyarakat awam, seorang sahabat melontarkan pandangan bahawa media kurang memberikan ruang untuk isu-isu sains. Kalau ada sekalipun, biasanya isu-isu yang memberikan gambaran negatif tentang sains. Dan sahabatku ini seterusnya berhujah bahawa di dalam dunia sastera juga, pembangunan sains dan teknologi serta golongan saintis dan teknologis sering digambarkan secara negatif. Pendeknya, seolah-olah sains dan teknologi itu membawa kepada kehancuran dan kerosakan.

Terdiam aku seketika sebaik mendengar lontaran kata-kata sahabatku ini. Bukannya apa, aku tiba-tiba berada di dalam satu dilema. Aku seorang saintis, maka aku akui ada kebenaran kata-kata sahabatku ini. Lihat sahaja bagaimana perkembangan sains dan teknologi dipaparkan menerusi kisah-kisah sama ada yang dibukukan mahupun yang difilemkan. Tetapi pada waktu yang sama, aku juga seorang penulis yang mula berjinak-jinak dengan genre fiksyen sains, yang menyebabkan aku kurang bersetuju dengan pandangan sahabat tersebut. Karya Transgenesis: Bisikan Rimba misalnya memang menyentuh isu penyalahgunaan teknologi (secara khusus, bioteknologi). Tetapi bukanlah niatku untuk menggambarkan semua saintis itu tidak beretika dan semua perkembangan sains dan teknologi itu buruk. Aku senantiasa berpegang bahawa teknologi itu ibarat pisau - buruk atau baiknya kesan penggunaan pisau (baca: teknologi) itu bergantung kepada penggunanya. Banyak isu-isu falsafah yang aku ketengahkan menerusi novel keduaku ini yang mengajak pembaca untuk berfikir.

Perkara ini bermain-main di dalam kotak fikiranku sepanjang hari. Dan mungkin sudah ketentuan Ilahi, aku terjumpa satu kata-kata yang menarik yang dipetik daripada Frank Herbert iaitu penulis siri novel terkenal Dune. Katanya:

The function of science fiction is not always to predict the future but sometimes to prevent it.
[Terjemahan: Peranan fiksyen sains bukanlah untuk meramalkan masa hadapan setiap masa tetapi ada kalanya untuk menghalangnya.]
Ya, agaknya itulah sebab ramai penulis fiksyen dan fantasi sains memilih tema-tema pascaapokaliptik untuk menggerakkan jalan cerita mereka. Mungkin inilah sebabnya penulis seperti aku memilih risiko dan dampak buruk perkembangan teknologi sebagai kisah untuk dinukilkan. Bukan untuk memberikan imej negatif kepada sains dan teknologi serta saintis dan teknologis. Sekadar mahu memberikan kesedaran tentang kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku andai kata sains dan teknologi disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Aku kira inilah peranan besar yang dimainkan oleh sang penglipurlara fiksyen dan fantasi sains. Bukan menulis semberono sesedap rasa sekadar memuaskan nafsu dan ego sendiri, tetapi menulis dengan penuh tanggungjawab untuk memberikan dan menimbulkan kesedaran kepada pembaca. Kebetulan aku sedang membaca karya fantasi sains Fadli Al-Akiti iaitu Saga Horizon. Tema tulisan penulis muda berbakat besar ini berkisar dengan tema pascaapokaliptik pada masa hadapan. Aku belum habis membacanya tetapi aku kira ini adalah satu contoh penulisan fantasi sains yang bertanggungjawab. Penulis mengutarakan isu-isu bersifat falsafah menerusi penceritaannya yang mampu mengundang pembaca untuk berfikir (seandainya pembaca memilih untuk berfikir). Kita perlukan lebih ramai penulis seperti Fadli Al-Akiti yang mampu bercerita sambil memberi nasihat secara tersirat.