Ahad, 25 Mac 2007

Bab 1 "Transgenesis"

Seperti yang telah aku coretkan sebelum ini, aku tidak berpuas hati dengan draf pertama novel keduaku. Jadi aku telah merombak semula keseluruhan plot cerita ini, dan mengintegrasikan unsur-unsur misteri, seram dan suspens ke dalam kisah fiksyen sains ini.

Malah, ketika aku mula menulis semula Bab 1 novel ini, aku sendiri berasa seram sejuk, sehinggakan ada di satu bahagian kisah ini, aku terasa bulu roma di tengkuk meremang. Aku mengambil masa dua malam untuk menyiapkan bab pertama ini, dan kali ini aku lebih berpuas hati.

Insya-Allah malam esok aku akan mulakan penulisan untuk bab berikutnya.

Kedudukan skrip drama "Zuriat"

Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan keizinan dan takdir-Nya jua, skrip "Zuriat" yang aku tulis untuk Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2006 telah diisytiharkan mendapat tempat kedua.

Ini sememangnya suatu perkara yang tidak aku jangkakan kerana aku bukanlah seorang penulis skrip. Ini merupakan percubaan pertamaku, tetapi alhamdulillah, ianya membuahkan hasil. Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, aku memasuki peraduan ini sekadar untuk menyahut cabaran sendiri dan untuk memperolehi pengalaman.

Apapun, pengalaman menulis skrip ini merupakan sesuatu yang berharga buat diriku.