Isnin, 4 Februari 2008

Minda kata "ya"... badan kata "tidak"

Rasanya suatu perkara lumrah apabila seorang penulis menghadapi keadaan "letih badan." Aku sekarang ini terlalu sibuk dengan tugas hakiki di samping pengajian doktorat di universiti sehingga menyebabkan aku keletihan sebaik pulang ke rumah. Masa yang ada di rumah lebih banyak aku habiskan melayan keletah anak-anak yang cepat membesar. Lazimnya, masa yang aku peruntukkan untuk menulis adalah di sebelah malam. Namun, semenjak aku menyiapkan manuskrip "Transgenesis: Bisikan Rimba" beberapa bulan lalu, aku seperti tidak berdaya lagi untuk menintakan ayat-ayat untuk karya kreatif.

Walaupun demikian, seperti yang pernah aku catatkan di blog ini sebelum ini, aku sasarkan beberapa perkara untuk aku selesaikan pada tahun 2008 ini, insya-Allah. Aku telah tanamkan iltizam untuk menyiapkan nopen "Menagih Janji Langit Malam" pada bulan ini di samping memulakan penulisan untuk memoir "Echoes of My Heart," skrip drama bertemakan kemerdekaan, nopen "Mencari Nessie" dan nopen "Koloni 1974."

Memang banyak perkara yang ingin aku lakukan dan memang banyak kisah yang ingin aku ceritakan. Aku hanya mampu berdoa memohon agar aku diberikan kekuatan, kesihatan, kelapangan dan kesungguhan untuk meneruskan perjuangan di medan ini.