Pengumuman: "Inilah Kisahku" akan disambung pada minggu hadapan untuk memberi laluan kepada komentar khas ini. Harap maklum dan terima kasih.
Aku pernah catatkan di blog ini tentang karya-karya fiksyen sains tidak berapa lama dahulu. Aku kira soalan yang diajukan juga boleh diajukan bagi karya-karya fantasi. Dengan pelancaran novel Harry Potter yang ketujuh iaitu Harry Potter and the Deathly Hallows di pasaran, jelas nampak kegilaan pembaca terhadap karya J.K. Rowling ini. Pelbagai sebab dan teori telah diketengahkan kenapa novel ini mendapat sambutan yang begitu hangat. Aku tidak akan menyentuh sangat tentang soal ini kerana perbincangan mengenainya boleh dibaca di beberapa blog lain seperti blog TintaRona, blog saudari Nisah Haron dan blog saudara John Norafizan.



Kita juga ada saudari Hani Ismail yang tampil dengan genre fiksyen sains menerusi Pengembaraan Suzaimi iaitu buku pertama siri "Akademi Gemilang."Malaysia juga beruntung kerana mempunyai penulis fantasi seperti saudara Serunai Faqir yang telah menghasilkan Dewangga Sakti yang merupakan bahagian pertama di dalam triloginya mengenai pengembaraan seorang remaja bernama Jaka Suria.
Terbaru, telah lahir novel Ajak Kadir Mencari Buku Sakti Kasyorga karya saudari E.M. Muhammad. Ini adalah novel yang menggunakan genre fantasi yang dianggap sebagai "jawapan" kepada Harry Potter. Aku difahamkan novel ini juga yang pertama daripada siri mengenai pengembaraan Ajak Kadir.
Lihat sahaja watak-watak yang mewarnai dunia penulisan fiksyen sains dan fantasi di negara kita. Kita punya Nyemah Mulia, Detektif Indigo, Suzaimi dan rakan-rakan di Akademi Gemilang, Jaka Suria dan Ajak Kadir! Yang belum kita punyai adalah generasi pembaca yang mahu menyambar karya-karya ini daripada rak-rak di kedai-kedai buku. Pastinya, semua kita mempunyai tanggungjawab untuk menyemarakkan industri penerbitan negara, tidak kiralah sama ada kita ini penulis, penerbit, pengedar, penjual, pengkritik mahupun pembaca. Jika semua pihak tidak menggembleng tenaga, masakan karya-karya yang ada akan mendapat sambutan. 


