Khamis, 14 Ogos 2008

Yang secupak takkan jadi segantang

Pagi tadi, atas undangan guru doktoratku, aku telah menghadiri satu syarahan umum anjuran Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Tengku Nasyaruddin Syed Effendy bin Haji Tengku Syed Umar Muhammad (atau lebih dikenali sebagai Tenas Effendy). Mendengar syarahannya bertajuk "Falsafah Melayu Islam Menghadapi Kepelbagaian" mengundang rasa insaf pada diriku. Ada ketikanya juga terasa sebak di dada apabila menyedari suatu perkara yang selama ini tersalah faham atau tidak difahami.

Pak Tenas Effendy yang usianya sudah mencecah 72 tahun ialah seorang yang boleh kita ibaratkan sebagai gedung ilmu bergerak berkenaan budaya Melayu-Riau. Beliau mengumpul dan menyimpan lebih 10,000 pantun dan 20,000 bidalan Melayu. Pendek kata, Pak Tenas Effendy ialah seorang dokumentator adat dan budaya Melayu.

Aku teruja mendengar syarahan ini. Banyak perkara baru yang aku perolehi terutamanya mengenai ungkapan-ungkapan Melayu yang disalah tafsir atau disampaikan bukan di dalam bentuk yang penuh. Inilah yang menyebabkan generasi hari ini melihat ungkapan-ungkapan Melayu (yang sebetulnya kaya dengan hikmah kebijaksanaan orang terdahulu) sebagai ungkapan-ungkapan yang terkebelakang atau membawa konotasi negatif.

Insya-Allah aku akan kongsikan perkara-perkara yang aku perolehi ini dari semasa ke semasa. Untuk kali ini, aku ingin kongsikan mengenai ungkapan "Yang secupak takkan jadi segantang." Ungkapan ini sering ditafsir oleh generasi hari ini sebagai ungkapan yang bersifat negatif kerana seolah-olah orang Melayu tidak mahu berusaha untuk menambahkan rezeki, sekadar berpuas hati dengan apa yang ada. Tafsiran seperti ini sebenarnya jauh tersasar. Betapa dalamnya falsafah Melayu-Islam di dalam menggalakkan usaha dan ikhtiar apabila kita melihat ungkapan tersebut di dalam konteks yang sepenuhnya.

Konteks sepenuhnya bagi "Yang secupak takkan jadi segantang" ialah seperti yang diperturunkan di bawah ini:

Adat hidup orang beriman
Daya upaya ia jalankan
Ke laut ke darat tiada segan
Ke hulu ke hilir tiada enggan
Ilmu ditimba sepanjang masa
Bekal hidup di atas dunia
Bekal mati pada ujungnya
Bekal tak sudah berkira-kira
Bekal terwujud sehabis daya
Rezeki dicari sebilang hari
Penat letih tiada peduli
Jauh dekat sama dihampiri
Mencapai maruah dan tuah diri
Mencapai niat berbuah budi
Mencapai maksud Melayu jati
Apabila ikhtiar sudah cukup
Yang usaha sudah habis
Yang mujur tak dapat diraih
Yang malang tak dapat ditolak
Yang nasib sudah bertentu
Yang takdir sudah tersurat
Yang suratan sudah berlaku
Yang daya sampai hadnya
Yang upaya sampai batasnya
Yang ikhtiar sampai pucuknya
Yang sepompat takkan jadi sekal
Yang sekal takkan jadi secupak
Yang secupak takkan jadi segantang
Yang sejengkal takkan jadi sehasta
Yang sehasta takkan jadi sedepa
Yang sukatan sudah dipepas
Yang timbangan sudah bertentu
Di situ iman diteguhkan
Di situ dada dilapangkan
Di situ akal dipanjangkan
Di situ hati dipukalkan
Di situ diri direnungkan
Begitu indah sekali ungkapan ini di dalam konteks yang penuh (yang pastinya ramai yang tidak ketahui, termasuklah diriku). Ungkapan ini dimulakan dengan ayat yang menunjukkan bahawa inilah amalan orang yang beriman. Ungkapan ini merungkaikan konsep berikhtiar, berusaha dan akhirnya bertawakal. Apabila semua sudah dilakukan barulah diserahkan kepada Allah SWT untuk menentukan balasannya. Dan akhir sekali, ditekankan aspek muhasabah dan takwa kepada Yang Maha Esa.

Alangkah cantiknya ungkapan ini. Alangkah besar dan dalam maknanya. Sarat dengan falsafah yang memandu tindakan orang yang beriman. Begitu indahnya budaya Melayu-Islam ini sebenarnya. Sayangnya kita tidak sedar.

Insya-Allah akan dikongsikan perkara-perkara lain di dalam catatan akan datang.

0 maklum balas: