Jumaat, 29 Disember 2006

Salam akhir tahun

Nampaknya kita telah tiba di hujung tahun 2006, dan tahun baru 2007 bakal menjelang. Istimewanya kali ini, Hari Raya Aidiladha juga jatuh pada hari terakhir tahun 2006. Apapun, diharapkan di sebalik "kemeriahan" kita meraikan 1 Januari 2007, janganlah pula kita lupa perayaan yang lebih penting dan lebih utama iaitu Aidiladha. Kita perlu ingat - dan diperingatkan - bahawa Aidiladha ini merupakan satu daripada dua perayaan yang disyariatkan oleh Allah SWT menerusi Rasulullah SAW. Amatlah rugi jika terlupa merayakan Aidiladha yang wajib disambut kerana terlalu asyik berseronok menyambut ambang 2007. Tidak salah meraikan tahun baru, tetapi caranya mesti kena berlandaskan ketetapan agama. Namun, lebih baik kiranya semangat tahun baru itu diraikan semasa ketibaan Hijrah yang kebetulan hanya beberapa minggu sahaja lagi.

Walau apa sekalipun, natijah daripada peristiwa korban Abu al-Anbiya' Nabi Ibrahim a.s. perlulah dijadikan iktibar. Dan marilah kita menanamkan azam dan iltizam untuk mengunjungi tanah suci Makkah al-Mukaramah dan Madinah al-Munawarah suatu hari nanti bagi melunaskan tuntutan Rukun Islam kita yang kelima.

Salam Aidiladha dari sang Kelana yang marhaen ini.

Ahad, 24 Disember 2006

Perkara paling sukar

Sebenarnya bagi aku, perkara yang paling sukar adalah untuk memulakan penulisan, tidak kiralah sama ada penulisan ilmiah (kertas kerja, makalah ilmiah dan seumpamanya) atau penulisan kreatif (novel, cerpen, puisi atau skrip). Lazimnya aku akan perlukan beberapa percubaan sebelum dapat memulakan satu-satu penulisan yang benar-benar akan memberikan kepuasan kepada diri.

Apabila penulisan telah berjaya dimulakan, bermakna aku telah berjaya menghayati apa yang aku garap itu. Jika aku menulis novel atau cerpen, maka bermakna aku berada di dalam "dunia" yang aku "cipta" untuk watak-watakku di dalam pengkisahan itu. Aku dapat menyelami perasaan watak-watak ini dan aku tahu apa yang difikirkan oleh mereka. Lantas, apabila ini dapat ku lakukan, maka mudahlah untuk aku memenakan perasaan dan pemikiran watak-watak ini ke atas kertas. Aku akan dapat "memberitahu" pembaca apa yang sedang berlegar di dalam benak watak-watak kisah yang ku tulis. Meminjam kata-kata Ali Majod yang memberikan komen tentang novel sulungku, "Ombak Senja":

Watak dan perwatakan digambarkan dengan jelas dan dapat dibayangkan oleh pembaca sama seperti manusia berdarah dan berdaging - manusia biasa.
Bagiku, jika aku gagal menggambarkan watak-watak cerita yang ku tulis, maka aku telah gagal menghayati ceritaku sendiri. Jika ini gagal aku lakukan, tidak ada maknanya bagi ku untuk meneruskan ceritaku. Sebab itulah aku rasakan cabaran yang paling besar dan perkara yang paling sukar untuk dilakukan adalah untuk memulakan penulisan. Plot cerita mungkin sudah ada, tetapi selagi mana plot itu belum diterjemahkan ke dalam bentuk penceritaan, maka proses pengkaryaan belum bermula.

Aku bersyukur kerana akhirnya aku berjaya memulakan proses penulisan bagi novel kedua, yang buat masa ini aku namakan "Transgenesis." Dari tajuk ini sahaja, sudah boleh diagak bahawa genre novel ini adalah fiksyen sains yang sama sekali berbeza dengan novel pertama yang bakal terbit awal tahun 2007 ini iaitu "Ombak Senja." Untuk makluman, aku dasarkan kisah ini kepada sebuah cerpen bahasa Inggeris yang pernah aku karang pada tahun 1991 yang bertajuk "Flora."

Apapun, aku berdoa agar proses memindahkan kisah daripada kotak fikiran ke kertas akan berjalan dengan lancar, insya-Allah. Aku telah tetapkan matlamat agar manuskrip ini siap menjelang terbitnya novel "Ombak Senja."