Khamis, 31 Julai 2008

Ada apa dengan saifai?

Saifai - nama glamor bagi genre fiksyen dan fantasi sains - ialah satu genre yang masih kekurangan penulis. Namun bukanlah bermakna kita ketandusan penulis di dalam genre ini. Aku pernah ulas tentang perkara ini di dalam blog ini beberapa ketika yang lalu. [Klik sini dan sini untuk bacaan lanjut]. Rasanya sudah hampir setahun aku tidak mengulas perkara ini. Maka izinkan aku untuk melanjutkan komentar mengenai fiksyen dan fantasi sains di dalam kesempatan yang ada pada kali ini.

Aku ke Universiti Malaya pagi tadi untuk menghadiri satu perbincangan mengenai bioteknologi. Semasa berbicara tentang tahap kefahaman bioteknologi di kalangan masyarakat awam, seorang sahabat melontarkan pandangan bahawa media kurang memberikan ruang untuk isu-isu sains. Kalau ada sekalipun, biasanya isu-isu yang memberikan gambaran negatif tentang sains. Dan sahabatku ini seterusnya berhujah bahawa di dalam dunia sastera juga, pembangunan sains dan teknologi serta golongan saintis dan teknologis sering digambarkan secara negatif. Pendeknya, seolah-olah sains dan teknologi itu membawa kepada kehancuran dan kerosakan.

Terdiam aku seketika sebaik mendengar lontaran kata-kata sahabatku ini. Bukannya apa, aku tiba-tiba berada di dalam satu dilema. Aku seorang saintis, maka aku akui ada kebenaran kata-kata sahabatku ini. Lihat sahaja bagaimana perkembangan sains dan teknologi dipaparkan menerusi kisah-kisah sama ada yang dibukukan mahupun yang difilemkan. Tetapi pada waktu yang sama, aku juga seorang penulis yang mula berjinak-jinak dengan genre fiksyen sains, yang menyebabkan aku kurang bersetuju dengan pandangan sahabat tersebut. Karya Transgenesis: Bisikan Rimba misalnya memang menyentuh isu penyalahgunaan teknologi (secara khusus, bioteknologi). Tetapi bukanlah niatku untuk menggambarkan semua saintis itu tidak beretika dan semua perkembangan sains dan teknologi itu buruk. Aku senantiasa berpegang bahawa teknologi itu ibarat pisau - buruk atau baiknya kesan penggunaan pisau (baca: teknologi) itu bergantung kepada penggunanya. Banyak isu-isu falsafah yang aku ketengahkan menerusi novel keduaku ini yang mengajak pembaca untuk berfikir.

Perkara ini bermain-main di dalam kotak fikiranku sepanjang hari. Dan mungkin sudah ketentuan Ilahi, aku terjumpa satu kata-kata yang menarik yang dipetik daripada Frank Herbert iaitu penulis siri novel terkenal Dune. Katanya:

The function of science fiction is not always to predict the future but sometimes to prevent it.
[Terjemahan: Peranan fiksyen sains bukanlah untuk meramalkan masa hadapan setiap masa tetapi ada kalanya untuk menghalangnya.]
Ya, agaknya itulah sebab ramai penulis fiksyen dan fantasi sains memilih tema-tema pascaapokaliptik untuk menggerakkan jalan cerita mereka. Mungkin inilah sebabnya penulis seperti aku memilih risiko dan dampak buruk perkembangan teknologi sebagai kisah untuk dinukilkan. Bukan untuk memberikan imej negatif kepada sains dan teknologi serta saintis dan teknologis. Sekadar mahu memberikan kesedaran tentang kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku andai kata sains dan teknologi disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Aku kira inilah peranan besar yang dimainkan oleh sang penglipurlara fiksyen dan fantasi sains. Bukan menulis semberono sesedap rasa sekadar memuaskan nafsu dan ego sendiri, tetapi menulis dengan penuh tanggungjawab untuk memberikan dan menimbulkan kesedaran kepada pembaca. Kebetulan aku sedang membaca karya fantasi sains Fadli Al-Akiti iaitu Saga Horizon. Tema tulisan penulis muda berbakat besar ini berkisar dengan tema pascaapokaliptik pada masa hadapan. Aku belum habis membacanya tetapi aku kira ini adalah satu contoh penulisan fantasi sains yang bertanggungjawab. Penulis mengutarakan isu-isu bersifat falsafah menerusi penceritaannya yang mampu mengundang pembaca untuk berfikir (seandainya pembaca memilih untuk berfikir). Kita perlukan lebih ramai penulis seperti Fadli Al-Akiti yang mampu bercerita sambil memberi nasihat secara tersirat.

2 maklum balas:

fadz berkata...

slm saudara amir, mmg tercari2 dengan karya saudara kerana mendapat ulasan yang baik dalam Ketika Membaca. Syabas! Saya juga rasakan apa yang saudara katakan itu betul, metafora pisau itu adalah simbol terbaik dalam memahami 'ilmu' dan realisasi kemanusiaan, dua perkara yang sungguh berbeza. Oleh sebab itu saya mengatakan syabas terhadap novel saudara kerana membawa idea 'sains boleh saja memberi nilai kemanusiaan' (saya rujuk ulasan Ketika Membaca). Idea pascaapokalips yang saya mabil mempunyai satu tujuan saja waktu itu (tanpa apa2 kesedaran), saya suka filem2 pascaapokalips, hehe. Apa2pun, tulisan yang sangat bernas:)

Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen berkata...

Salam saudara Fadli,

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini.