Isnin, 8 September 2008

Komen terkini "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Aku hanya mampu mengucapkan kalimah tahmid. Di dalam tempoh tiga bulan ini, sudah ada sepuluh ulasan dan maklum balas yang dibuat oleh kalangan blogger mengenai novel Transgenesis: Bisikan Rimba. Terbaru tiga lagi ulasan yang dapat dikesan.

Pertama, ulasan yang dibuat oleh saudara Aiman Akmal. Berikut petikan dari blognya:

Novel Transgenesis: Bisikan Rimba ini dapat saya habiskan sebelum keretapi tiba di perhentian terakhir lagi. Bagi saya, walaupun ia sebuah karya fiksyen sains, pengarang yang sedang menyambung doktoratnya dalam falsafah sains di UM ini, tidak putus-putus dari memasukkan intipati etika , falsafah, dan nilai kemanusiaan dalam tulisannya ini. Malah, unsur nilai-nilai Islam digarapnya begitu baik sekali.

Seingat saya, sebelum ini, jika novel fiksyen atau fantasi, saya lebih cenderung karya inggeris seperti Harry Potter, Chronicles of Narnia, Unfortune Event, Lord of The Ring, Star Wars dsb. Jika adapun novel fiksyen atau fantasi yang berbahasa melayu, masih boleh dibilang dengan jari.

Yang antaranya ialah Advencer si Peniup Ney, 1511Kombat, dsb. Sebabnya novel melayu yang selalu saya baca kebanyakkannya berunsur kehidupan dan ‘cinta’.

Hendaknya selepas ini saya akan lebih memberi ruang kepada minda saya ini untuk mengembara ke alam fantasi hasil karya novelis-novelis Muslim supaya boleh mendakatkan lagi kepada Maha Pencipta. Ini yang saya rancangkan. Moga-moga diberkati Allah. Wallahu’alam.

Ulasan kedua ialah dari Kak Wan Amalyn, seorang resensor yang terkenal di dalam dunia blog ini. Tulis Kak Wan:

Transgenesis : Bisikan Rimba adalah karya kedua Amir Husaini yang aku baca selepas Ombak Senja. Kali ini Amir Husaini tampil dengan 'wajah' yang berbeza. Kisah tentang teknologi pengklonan antara manusia dan hidupan alam ciptaan Allah yang berkongsi bumi yang sama. Ia sebuah kisah sains fiksyen.

Segalanya bermula dengan pembunuhan misteri Hwang Chien Ming seorang tauke balak di hutan simpan Gunung Pulai bersaksikan Razilan, pekerjanya. Pembunuhan oleh 'makhluk serba hijau' menjadi tanda tanya dan menimbulkan persoalan kepada orang ramai akan 'siapa' atau 'apa' makhluk yang didakwa menjadi pembunuh misteri tersebut.

Buraquzzaman Baharudin, wartawan akhbar tabloid Semboyan Nasional ditugaskan untuk 'cover' tentang pembunuhan tersebut. Ekoran daripada laporan tersebut menyebabkan Institut Trans-DNA sebuah institut penyelidikan genetik, tidak senang duduk kerana ia ada kaitan dengan rahsia penyelidikan mereka.

Kehilangan subjek 4-7-9-1 memaksa Datin Kay selaku pengasas Institut Trans-DNA dan Datuk Jay, seorang usahawan yang menjadi penyumbang dana bagi membiayai penyelidikan di institut tersebut menubuhkan sepasukan pencari yang disertai oleh mereka sendiri selain daripada Profesor Joned Jauhar, Tracker dan beberapa orang lagi sebagai penunjuk jalan untuk mencari subjek 4-7-9-1.

Walau bagaimanapun pencarian subjek 4-7-9-1 bukanlah semudah yang disangkakan. Pelbagai kejadian aneh mengekori mereka. Rupanya ada rahsia yang cuba diselindungkan dari pengetahuan umum. Satu rahsia yang telah dibungkus kemas berbelas-belas tahun yang lalu bahkan ada rahsia lain yang terselindung di balik rahsia yang cuba disembunyikan.

Flora - si gadis manis mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh manusia biasa. Dia manusia istimewa. 'Kelahiran'nya juga adalah melalui satu proses yang panjang dan rumit. Ia lahir hasil daripada pengklonan antara manusia dan tumbuhan yang memaksa sejumlah 4790 klon embrio terpaksa dikorbankan. Tapi benarkan semuanya berjaya dilupuskan??

Pembunuhan misteri, kebuntuan pihak polis dalam menjalankan siasatan pembunuhan ke atas tauke balak dan keghairahan wartawan membongkar kejadian aneh telah menyebabkan tersingkapnya tabir rahsia yang cuba diselindungkan bertahun-tahun yang lampau.

Benarkah Flora atau subjek 4-7-9-1 yang membunuh?? Atau ada subjek lain yang menjadi dalang pembunuhan misteri tersebut?? Nak tahu siapa atau bagaimana..?? Anda yang perlu membuat 'kajian' sendiri.

Apa yang dapat aku katakan adalah, aku suka karya terbaru Amir Husaini ini. Ia ada kelainannya. Apa yang membuatkan aku kagum adalah cara penulis mengolah plot cerita yang pada awalnya kita nampak bagaikan jalan lurus tetapi sebaliknya ada lencongan 'di depan sana' yang tidak terjangka dek fikiran kita. Begitulah jalan cerita ini. Jangan sangka jalan lurus tiada simpang yang menanti.!!

Penulis berjaya memanipulasi pembaca terutamanya aku kerana setiap telahan dan andaian yang bermain di kepala tatkala sedang membacanya adalah salah sama sekali. Setiap andaian yang aku cuba lakarkan dalam kepala aku menjadi berantakan apabila tiba pada titik kemuncaknya.

Tahniah pada penulis. Satu lagi karya yang aku pasti para pembaca yang gemarkan genre 'Sci-Fic' harus membacanya.

Dan aku harap ada kesinambungannya kerana banyak lagi persoalan yang sampai ke noktah terakhirnya tetap menimbulkan tanda tanya yang berlegar di kepala aku... dan yang pastinya aku ingin tahu siapa 'Atuk' tu?? Amir.... siapa 'atuk' tu??!! Shocked

Dan yang terbaru, ulasan daripada Waris Jagat:

Transgenesis ialah sebuah sai fai tentang sebuah eksperimen yang gagal atau jadi huru hara (macam yang selalu ditulis oleh Michael Crichton*). Apabila eksperimen gagal ini mula mengorbankan nyawa, maka beberapa orang yang berkepentingan mula cuba untuk menyembunyikan hakikat ini. Walaubagaimanapun, ada pula pihak lain yang cuba untuk membongkar misteri ini.

Transgenesis memaparkan pandangan kedua-dua pihak (dan juga ‘hasil-hasil’ eksperimen tersebut). Oleh itu kita tahu motivasi semua pihak. Antagonis dan protagonis digarap supaya kita memahami mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan. Mungkin ini akan sedikit menghilangkan elemen misteri dalam penceritaan tetapi percayalah bahawa banyak lagi yang disembunyikan oleh Amir Husaini.

Transgenesis ialah sebuah sai fai dan ini ditunjukkan dengan banyak perbualan antara watak tentang cabang sains biologi dan genetik (tidak lupa juga etika). Sebuah sai fai yang baik (pada pendapat saya) mestilah menyertakan persoalan falsafah dan Trangenesis juga tidak menghampakan saya dalam perkara ini.

Di samping itu, Amir Husaini tidak lupa memasukkan elemen islamik serta ketuhanan dalam Transgenesis. Saya yang terdedah dengan sai fai barat harus akui bahawa sedikit janggal dengan campuran ini. Ini ialah percubaan yang berani. Pada masa sai fai barat sangat memusuhi agama, elemen keagamaan adalah satu yang agak menyegarkan dan juga memberi satu identiti kepada sai fai melayu.

Apa yang saya juga suka dengan Trangenesis ialah kejutan yang diberikan pada penghujung cerita. Saya memang tidak sangka bahawa kisah ini akan bersambung, walaupun sebenarnya cerita yang terkandung di dalam buku ini sendiri ’self contained’. Babak ala Sherlock Holmes pada penghujung juga memang sangat sureal buat saya.

Transgenesis ialah sebuah bacaan yang baik serta mempunyai identitinya tersendiri dengan mesej islamik dan moralnya. Ceritanya lancar dan penuh misteri. Tahniah Amir Husaini!

*Michael Crichton selalu menghasilkan karya sai fai yang bertemakan “Frankenstein”. Sains yang cuba bertindak seperti Tuhan akan selalunya membawa kemusnahan (lihat Jurassic Park dan Timeline).

Aku ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan mengulas novelku ini. Sokongan dan dorongan kalian amat dihargai.

6 maklum balas:

en_me berkata...

salam ramadhan..

Aqilah berkata...

Assalamualaikum,saya Nor Aqilah,baru berusia 14 tahun.Saya suka sangat baca buku Trangenesis tu.Tapi saya ada soalan Trangenesis akan keluar dgn buku ke-2 ke?sebab ceritanya agak tergantung.Kalau ada,bila ia akn diterbitkan?.Harap dapat memberi jwpn pada saya...

salam,
Aqilah

Waris Jagat berkata...

Salam,
Berikut ialah komen seorang pembaca Transgenesis yang ditinggak di blog saya.

"Kepada saudara Amir Husaini,saya sudahpun membaca “transgenesis:bisikan rimba” ini..oleh kerana terlalu tertarik dengan ceritanya,jadi saya pun mencadangkan buku ini kepada mak saya dan beberapa orang rakan saya.Ternya mereka turut meminati cerita ini walaupun baru 2 orang yang sudah membacanya tidak termasuk mak saya.Sukar bagi saya meyakinkan rakan-rakan saya yang lain kerana mereka kurang tertarik jika penulis lelaki yang mengarang buku.Bagi saya,mereka sangat rugi kerana tidak membacanya terlebih dahulu sedangkan 2 orang rakan saya tadi begitu meminatinya.Di sini saya ingin bertanya,bila saudara ingin menyambung cerita ini kerana mak saya begitu tertarik hingga dia berkata begini “adik,kalau ada sambungan cerita ni,mak sanggup bagi adik duit beli buku tu” menunjukkan mak saya begitu tertarik membaca buku saudara sedangkan selama ini saya harus berjimat dengan duit belanja saya di sekolah untuk membeli buku cerita.Saya pun masih tertanya-tanya bila agaknya buku ini akan bersambung?Saya harap saudara tidak menghampakan peminat-peminat saudara di luar sana..Wassalam.."

Kelana berkata...

En_me: Salam Ramadhan.

Kelana berkata...

Waalaikumussalam Adik Aqilah,

Terima kasih kerana sudi membaca "Transgenesis: Bisikan Rimba" dan sudi pula membuat sedikit ulasan di blog adik. Saya gembira adik berpuas hati dengan kisah ini.

Untuk makluman, insya-Allah Transgenesis 2 akan terbit pada tahun 2009. Manakala Transgenesis 3 pula pada tahun 2010.

Terima kasih di atas sokongan adik.

Kelana berkata...

Saudara WarisJagat, terima kasih kerana memanjangkan maklum balas ini kepada saya.

Kepada adik Siti Nazirah, terima kasih di atas sokongan dan kesudian membaca. Saya gembira apabila adik memberitahu yang adik, rakan-rakan adik dan ibu adik berpuas hati dengan kisah "Transgenesis: Bisikan Rimba". Seperti yang saya nyatakan di atas tadi, sambungan kisah ini akan menemui pembaca pada tahun 2009 insya-Allah.