Khamis, 31 Julai 2008

Catatan Pesta Buku Selangor

Beberapa pengunjung ke sini dan juga ahli forum di Cari Forum bertanyakan tentang hal ini. Bagaimana sambutan di Pesta Buku Selangor tempoh hari?

Sahabat novelis, Izza Aripin, yang berkunjung ke Pesta Buku Selangor pada hari Jumaat lepas memberitahu yang tidak ramai pengunjung ke situ. [Catatan Izza boleh dibaca di sini]. Aku katakan mungkin sebab hari bekerja. Lazimnya orang lebih ramai pergi pada hujung minggu. Dan seperti yang aku uar-uarkan, aku terlibat dengan sesi autograf di situ pada hari Sabtu yang lalu, di antara jam 1 hingga 2 petang.

Disebabkan harga minyak yang sudah naik (ditambah dengan lokasi pejabatku yang hanya tiga minit perjalanan kaki), aku telah pun menjual keretaku. Jadi pada hari Sabtu itu, terpaksalah aku menggunakan pengangkutan awam untuk ke Shah Alam dari Setiawangsa. Dari teratak kediamanku, aku menapak selama 15 minit untuk ke Stesen LRT Setiawangsa. Dari situ, aku menaiki LRT Aliran Kelana Jaya dan turun di Stesen KL Sentral. Di stesen tersebut, aku naik pula KTM Komuter dan turun di Stesen Batu Tiga. Dari situ, seorang sahabat lama menunggu untuk menjemputku.

Sebelum aku berceloteh tentang Pesta Buku Selangor, aku suka nyatakan di sini yang pengalaman menaiki pengangkutan awam ialah satu pengalaman yang menarik. Sudah begitu lama aku tidak menggunakan pengangkutan awam, dan apabila sesekali menggunakan pengangkutan ini, pasti banyak perkara yang dapat aku perhatikan - dari gelagat manusia hinggalah keadaan pengangkutan awam itu sendiri. Walaupun aku menghabiskan hampir satu jam setengah di atas pengangkutan awam untuk ke Shah Alam, aku tetap gembira kerana banyak "ilham baru" yang aku perolehi daripada pengalaman ini.

Aku tiba di Kompleks PKNS iaitu lokasi Pesta Buku Selangor sekitar jam 12.30 tengah hari. Perkara pertama yang aku perasan ialah, seperti kata Izza Aripin, tidak ramai pengunjung yang berada di situ. Dari satu sudut, aku terasa lega kerana ini membolehkan aku meninjau-ninjau gerai yang ada dengan lebih mudah tanpa perlu berhimpit-himpit (sempat juga membeli beberapa buku dan CD). Namun dari satu sudut lain, aku terasa sedikit ralat kerana seolah-olah pesta buku tersebut seperti tidak mendapat sambutan. Ini sekadar persepsi peribadi yang mungkin tidak dipersetujui oleh orang lain.

Kemudian, seperti yang dijanjikan kepada penerbit, aku berada di gerai untuk sesi autograf. Aku tidak keseorangan pada sesi itu. Bersamaku ialah novelis yang telah memenangi beberapa anugerah iaitu Aminah Mokhtar. Dan dari kerusi tempat aku duduk, sekali lagi aku lihat tidak ramai orang yang berada di lokasi pameran. Jika ada pun orang yang mundar-mandir, rasanya mereka lebih tertumpu untuk membeli-belah di kompleks tersebut.

Aku ada bersembang (untuk menghilangkan kebosanan) dengan Cik Norashikin Wahid, Editor PTS Fortuna. Dari sembang-sembang kami, kesimpulan yang boleh dibuat ialah lokasi pesta buku tidak begitu sesuai. Apabila diadakan pesta buku di ruang legar pusat membeli-belah, orang yang datang tidak semestinya datang untuk meninjau-ninjau gerai buku. Mungkin (daripada pengamatan peribadi) daripada 10 orang yang lalu, hanya tiga orang yang singgah. Yang membeli buku tentulah jauh lebih kecil bilangannya daripada yang membelek buku. Mungkin penganjur mengambil kesempatan menggunakan ruang legar dengan tujuan untuk menarik lebih ramai orang. Tetapi setakat hari kedua Pesta Buku Selangor diadakan, aku lihat jika itulah tujuannya, aku rasa ia tidak memberikan kesan yang diharapkan. Atau mungkin juga seperti yang dikatakan sesetengah orang bahawa kenaikan harga minyak memberi kesan kepada penjualan buku. Wallahu'alam. Aku cuma berharap agar sambutan yang lebih baik diberikan kepada Pesta Buku Selangor pada hari-hari berikutnya.

Walau bagaimanapun, 15 minit terakhir sesi autograf itu bagiku lebih menarik. Kami dikejutkan dengan kemunculan Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said yang meluangkan masa hampir 30 minit di gerai PTS tersebut. Aku dan Aminah Mokhtar mengambil kesempatan ini untuk menghadiahkan hasil tulisan kami iaitu Transgenesis: Bisikan Rimba dan Seteguh Fikrah Salehah kepada beliau. Dan tentunya kesempatan bergambar tidak dilepaskan.

Aku juga dapat bersemuka untuk pertama kalinya dengan pengulas novel di ruang siber iaitu Kak Wan Amalyn dan penulis siri Takluk Jagat iaitu Zaki Zainol atau lebih dikenali di ruang siber sebagai Kangaq. Pertemuan kali pertama ini sesuatu yang istimewa kerana kini aku sudah meletakkan "wajah" kepada nama kenalan di ruang siber.

Walau apa sekalipun, pengalaman pertama menyertai aktiviti seperti ini di Pesta Buku Selangor merupakan satu pengalaman yang istimewa.

2 maklum balas:

JIE berkata...

Salam Kelana,

Saya mengagak Pesta Buku di Shah Alam akan menarik minat student UITM dan kolej disekitar kawasan sana, tapi tak juga, kenapa ye?

Kelana berkata...

Salam Jie,

Soalan yang menarik. Yang datang semasa saya di sana kebanyakannya datang dengan keluarga. Mungkin ada pelajar yang datang tapi tak ramai. Pensyarah ada jugalah yang saya nampak.