Khamis, 23 Ogos 2007

Inilah kisahku [Bahagian 5]

Semasa aku mula memasuki alam pekerjaan, bas mini berwarna merah jambu masih lagi bermaharajalela di jalan-jalan kota raya. Ketika itu belum ada Syarikat Intrakota yang mengambil alih perkhidmatan bas-bas mini ini. Maka, mahu tidak mahu, aku terpaksa bergantung (secara figuratif dan literal) kepada bas-bas mini yang ada untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Secara figuratif, aku bergantung kepada bas mini kerana tidak ada bas lain yang melalui kawasan tempat tinggalku pada zaman itu. Secara literal, aku terpaksa bersabung nyawa bergantung di pintu bas mini yang sesak macam tin ikan sardin setiap kali menaiki bas tersebut. Ketika itulah aku sedar yang hidup di Kuala Lumpur ini memerlukan seseorang itu mempunyai otot besi dan urat dawai. Macam manapun aku bersyukur, akhirnya bas Intrakota mengambil alih perkhidmatan bas-bas mini yang ibarat pelesit ini. Setidak-tidaknya episod bergayut macam Spider-Man di pintu bas mini tidak lagi aku alami.

Aku masih ingat lagi betapa waktu itu, daripada tingkap pejabatku yang terletak di Jalan Ampang, aku dapat melihat dengan jelas pembinaan bangunan tertinggi di dunia dengan menara berkembar yang dimiliki oleh syarikat minyak gergasi yang menjadi penajaku ke United Kingdom. Kerja dijalankan 24 jam sehari dan dengan begitu pantas, menara berkembar itu berjaya disiapkan.

Ada kalanya aku tidak pulang ke rumah sewaku. Itulah sebabnya akan sentiasa tersedia satu persalinan di pejabat andai kata aku memilih untuk tidak pulang. Aku malas untuk pulang kerana ketika itu, bukannya ada sesiapa yang menanti kepulanganku. Maklum sajalah, orang bujang - kalau balik pun tiada apa yang boleh dibuat. Aku juga malas untuk pulang kerana kesesakan jalan raya yang teramat sangat. Memang pada waktu itu, kesesakan di Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Datuk Keramat, Jalan Jelatek, Jalan Enggang dan kawasan sekitarnya amat luar biasa. Ini kerana pembinaan dan penaiktarafan jalan masih berjalan.

Kalau ada orang yang bersungut dengan kesesakan jalan di kawasan-kawasan ini sekarang, aku rasa mereka tidak pernah melalui zaman yang aku tempuhi. Mana tidaknya, pernah sekali aku menaiki bas di hadapan pejabatku pada jam 5.30 petang pada suatu hari di bulan Ramadan, bas itu hanya bergerak kira-kira 10 meter dalam tempoh dua jam! Sudahnya, kami di dalam bas itu berbuka puasa dengan menelan air liur sahaja. Hampir pukul 9 malam baru tiba di rumah. Kalau memandu di lebuh raya, sudah boleh sampai ke Pulau Pinang.

Apapun, pada waktu inilah, aku menghabiskan masa malamku dengan menulis Ombak Senja. Aku ambil masa lebih kurang lapan bulan untuk menyiapkan naskhah ini. Walaupun kawan-kawan yang membaca naskhah ini menggalakkan aku supaya menerbitkannya, hakikatnya aku tidak berani kerana aku bukan penulis yang mendapat latihan di dalam bidang penulisan kreatif. Aku menulis hanya untuk mengisi masa lapangku di sebelah malam. Aku tidak punya kehidupan sosial seperti orang lain. Masa malamku banyak dihabiskan di rumah. Memandangkan tidak ada perkara lain yang aku lakukan, maka aku memilih untuk "melayan imaginasi" yang ligat bermain di dalam kotak fikiranku dengan menterjemahkan kisah yang aku garap di dalam minda ke atas kertas.

Dan akhirnya, pada satu malam di dalam tahun 1997, Ombak Senja siap sepenuhnya.

[Bersambung...]

4 maklum balas:

Unknown berkata...

Salam,

Kita memasuki dunia pekerjaan di zaman yang sama. Zaman bas mini merah jambu. Tamabng hanya 60 sen. Masih ingat berulang ke Jalan Raja Chulan yang sibuk itu....

Tanpa Nama berkata...

salam Amir.. Ombak Senja siap tahun 1997.. tp berada di pasaran tahun 2007.. wahhhh lama betul nk sampai kepd pembaca! apahal? cepat sambung citer! tak sabar nk tahu... hehehe

Tanpa Nama berkata...

Salam saudara Jiwa Rasa,
Ya, memang zaman bas mini merah jambu adalah satu zaman yang sukar untuk dilupakan. "Kehebatan" bas mini mencilok kenderaan di atas jalan yang sibuk juga suatu perkara yang unik pada zaman itu.

Tanpa Nama berkata...

Salam Kak Nor,
Memang ada sebab kenapa saya ambil masa 10 tahun sebelum Ombak Senja terbit. Insya-Allah akan dikhabarkan di dalam sambungan akan datang.