Isnin, 3 September 2007

Satu lagi ulasan "Ombak Senja"

Alhamdulillah, ada satu lagi ulasan dalam talian mengenai Ombak Senja. Ini adalah ulasan ketiga yang aku temui dan kali ini didapati di blog MamaErra. Berikut adalah kupasannya:

"Pak Mid beritahu aku. Dia tahu daripada anak dia yang kerja kat hospital tu. Tak kan anak dia nak bohong?" jelas Mak Cik Kiah sedang marah.

"Pak Mid?" Zirul terdiam. Kenapa pula Pak Mid menyibuk dalam hal ini, hati kecil Zirul bertanya. "Jangan mudah percaya cakap orang, mak. Siasat dulu hujung pangkal, baru bertindak, " kata Zirul cuba menenangkan ibunya.

"Nak siasal apa lagi Zirul? Sudah, aku tak nak dengar lagi. Nanti kau angkat barang-barang si Hairi dlam bilik tu masuk ke dalam van dia. Aku tak mau kuman dia merebak dalam rumah kita. Isy, jijik aku, kau tahu tak?" kata Mak Cik Kiah lagi.

Zirul memerhatikan api yang membara membakar tilam, bantal dan cadar. Hatinya kecewa dengan ibu kerana terlalu mudah mempercayai cakap orang lain. Dia juga pelik kenapa Pak Mid begitu bersusah payah datang untuk memberitahu ibunya tentang hal ini. Zirul bimbang Hairi akan disisih apabila perkara ini tersebar. Dia tahu yang berita seperti ini akan dihebahkan dengan begitu pantas sekali. Zirul juga maklum dengan pemikiran orang kampungnya itu. Seperti juga ibunya, mereka akan beranggapan yang Hairi adalah seorang homoseksual.


Lagi satu hasil karya penulis lelaki yang telah aku baca... tidak ramai penulis novel lelaki pada masa ini jika nak dibandingkan dengan penulis perempuan. Pada permulaan pembacaan, padaku ceritanya biasa saja... kisah masyarakat yang diselitkan sedikit dengan unsur cinta. Selepas di pertengahan cerita, ketika Sofea melafazkan yang dia masih mencintai Hairi dan sedia menerima Hairi sebagai suami... aku mula teruja untuk meneruskan pembacaan untuk mengetahui kesudahan ceritanya. Apakah mereka akan bersatu? Bagaimana dengan penerimaan keluarga Sofea dan juga orang kampung?

Satu lagi fenomena yang sering melanda masyarakat kita pada masa ini... terutamanya masyarakat kampung, mereka ini kurang didedahkan dengan pelbagai perkara. AIDS pada contohnya, mereka tidak tahu banyak mengenai penyakit ini dan bagaimana untuk menangani pengidap penyakit tersebut. Mereka hanya pandai terus menghukum menyisih pesakit ini dari kelompok masyarakat. Lihat saja tindakan Mak Cik Kiah sebaik saja dia mengetahui akan panyakit Hairi... Apakah yang akan terjadi pada Hairi? Adakah dia akan dipulaukan oleh penduduk kampung? Bacalah... kalau nak tahu apa kesudahan ceritanya.

Terima kasih diucapkan kepada MamaErra di atas ulasan ini. Bagi sesiapa yang berminat tetapi belum mendapatkan naskhah Ombak Senja, ia boleh didapati di kedai-kedai buku utama atau boleh dibeli terus daripada TintaRona Publications di sales_upnd@utusan.com.my atau telefon 03-92856577.

2 maklum balas:

Tanpa Nama berkata...

Saya menanti karya sains fiksyen sdr.
:)

Tanpa Nama berkata...

Saudara Serunai Faqir: Minggu lepas, saya telah hantarkan sinopsis fiksyen sains kepada satu penerbit untuk dipertimbangkan bagi penerbitan. Masih menunggu jawapan. Jika takdirnya ada jodoh dengan penerbit ini, insya-Allah "Transgenesis" akan terbit pada tahun 2008. Jika tidak, saya perlu mencari penerbit lain.