Jumaat, 17 Ogos 2007

Lagi ulasan "Ombak Senja"

Ini adalah ulasan dalam talian (online) kedua mengenai Ombak Senja yang aku temui. Setinggi-tinggi penghargaan aku rakamkan kepada saudari Wan Amalyn yang telah sudi membaca dan mengulas novel Ombak Senja di dalam blog Sembang-sembang Pasal Buku. Pandangan dan kritikan yang diberi aku terima dengan hati yang terbuka demi kebaikan masa hadapan, insya-Allah. Ulasan itu boleh didapati dengan mengklik di sini. Juga aku telah mendapat izin daripada saudari Wan Amalyn untuk menurunkan ulasan tersebut:


Sinopsis:

Hairi meninggalkan Kampung Sungai Tiga kerana kecewa dengan takdir yang menimpa dirinya. Kedua orang tuanya meninggal dunia akibat kemalangan tatkala dirinya diterima melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kegembiraan menerima keputusan yang sepatutnya dikongsi bersama ibu bapanya berakhir dengan tragedi yang sekaligus menjadikannya anak yatim piatu yang tak punya sesiapa. Perginya Hairi dengan tekad tidak akan kembali lagi, kerana tiada apa lagi yang tinggal untuknya kecuali pusara kedua orang tuanya.

Namun sedekad berlalu Hairi kembali ke daerah yang telah melakarkan kisah sedihnya. Hairi kembali untuk mengutip sisa-sisa hidup yang tertinggal buatnya. Namun kepulangan Hairi bukan lagi sebagai Hairi yang dulu. Hairi hari ini telah jauh berubah.

Sejarah hitam di perantauan cuba diselindungkan dari pengetahuan penduduk kampung kecuali Zirul – adik angkatnya. Namun noda hitam yang terpalit dalam lipatan hidupnya, memaksa dia melupakan rasa cintanya pada Sofea – kekasih hatinya – kerana dia bukan lagi Hairi yang dulu yang layak bergandingan dengan Sofea, seorang doktor dan anak ketua kampung yang disegani.

Nasib malang bak bayang, terus mengekori setiap langkahnya. Insiden yang hampir meragut nyawanya telah membongkar sedikit demi sedikit rahsia hidup dan penyakitnya dari pengetahuan orang kampung. Natijahnya dia dipulau dan disisihkan.

Kerana kealpaannya, sinar terang yang terbentang di depan mata menjadi suram. Dapatkah Hairi melalui hari-hari terakhirnya dengan tenang ? Tanpa cemuhan dah tohmahan buruk dari mereka yang jahil tentang penyakit yang dideritainya ? Masihkah tersisa kasih dan kebahagiaan buatnya di penghujung usia ? Sofea – dapatkah dia menerima Hairi yang dia sedar tak punya banyak waktu untuk hidup ? Sanggupkah dia mengorbankan diri dan masa depannya untuk hidup di samping Hairi ? Segala persoalan hanya akan terjawap pabila anda membaca Ombak Senja ini.

*****

Ombak Senja (OS) menyelongkar kisah tentang dilema yang dihadapi oleh pengidap AIDS. Mereka disisihkan oleh sebilangan masyarakat yang prejudis dan tidak punya kesedaran serta pengetahuan tentang HIV dan AIDS ini.

Bagi aku, penulis berjaya membawa aku menyelami pahit maung dan perit getir yang terpaksa dihadapi oleh Hairi, seorang pembawa dan pengidap virus maut ini. Aku juga dapat merasai kesedihan Hairi berperang dengan maut dan di waktu yang sama dia harus berdepan dengan karenah masyarakat yang tidak sukakannya.

Perasaan simpati dan geram aku bercampur aduk pada Hairi. Aku simpati pada nasib dirinya yang ditinggalkan sebatang kara di saat-saat dia masih memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan. Namun adakala aku jadi geram, kenapa manusia sebijak Hairi (diterima belajar di oversea memerlukan kelulusan akademik yang cemerlang) harus tewas pada rasa kecewa dan hasutan nafsu hanya untuk keseronokan sementara tetapi terpaksa menanggung akibat untuk seumur hidup.

Namun perasaan simpati sekali lagi mengambil tempat di hati aku tatkala Hairi insaf akan kesilapan diri dan cuba untuk memperbaikinya walaupun dia sedar, dia tak punya banyak waktu.

Cuma apa yang mengelirukan aku adalah kadang-kala latar cerita terus bersambung tanpa ada sebarang gap. Aku faham niat penulis ingin menggambarkan dua situasi yang berbeza tetapi berlaku dalam jangka waktu yang hampir sama. Aku rasa, sekiranya ada pemisah antara dua latar/situasi tersebut sekurang-kurangnya pembaca tidak terkeliru dan pembacaan akan menjadi lebih lancar dan teratur.

Namun begitu membaca OS, banyak iktibar yang boleh diambil oleh anak-anak muda yang memandang hidup ini hanya untuk keseronokan di dunia yang sementara ini. Jangan jadikan nasib malang sebagai alasan untuk menghancurkan masa depan sendiri.

Usai membaca aku rasa insaf. Moga anak-anak aku kelak akan tetap di landasan yang lurus ke arah keredhaanNYA. Ameen.

Terima kasih sekali lagi saudari Wan Amalyn. Bagi yang belum mendapatkan naskhah Ombak Senja, apa tunggu lagi?

0 maklum balas: