Khamis, 16 Ogos 2007

Inilah kisahku [Bahagian 4]

Aku kembali ke tanah air tanggal 16 Jun 1996. Sememangnya di dalam fikiranku sebelum aku pulang ke tanah air, aku akan menaburkan khidmat kepada penajaku yang juga sebuah syarikat minyak gergasi di Malaysia. Malah, proses pemilihan yang aku hadiri juga berjaya aku lepasi. Aku ditawarkan bertugas di sebuah makmal kimia di Pantai Timur Semenanjung sebagai eksekutif penyelidikan kimia. Aku diminta melaporkan diri pada 1 Oktober tahun yang sama.

Entah mengapa, sebaik aku melihat surat tawaranku, hati ini menjadi tawar. Dan selepas ditimbang semasak-masaknya, aku menolak tawaran yang diberikan. Ramai temanku mencemuh kerana menganggap tindakanku itu terlalu mengikut perasaan dan satu perbuatan menolak rezeki. Tapi hati aku merasa begitu lega sekali tatkala menolak tawaran yang agak lumayan tersebut. Mujur juga keluargaku memberikan sokongan kepada apa yang aku lakukan walaupun mungkin mereka tidak begitu bersetuju.

Walau apa pun, tindakan tersebut menyebabkan aku dianggap melanggar kontrak perjanjian tawaran biasiswa. Namun, aku bukan jenis orang yang melarikan diri dari tanggungjawab. Walaupun aku tidak menerima tawaran bekerja di syarikat minyak gergasi itu, aku tidak membakar jambatan di antara diriku dan syarikat tersebut. Hubunganku dengan pegawai-pegawai di sana dipelihara dengan baik sehinggalah ke hari ini. Dan aku juga tidak lari daripada tanggungjawab melunaskan bayaran balik biasiswa kepada syarikat tersebut.

Jika tidak ke syarikat minyak itu, ke mana pula telah ku bawa diri? Sebenarnya aku telah ditawarkan bekerja dengan sebuah institusi pemikir swasta yang diketuai oleh seorang ahli fikir yang kebelakangan ini dikenali kerana satu kes mahkamah berprofil tinggi. Aku bertemu dengannya ketika satu persidangan di London pada tahun 1995. Dialah yang mencetuskan minat di dalam diriku untuk menulis perkara-perkara yang bersifat akademik, kritikal dan analitikal. Maka sebaik aku pulang, aku mengutus surat kepadanya menzahirkan minatku untuk menyertai institusi pemikir tersebut. Dan alhamdulillah, aku ditawarkan kerja dengan serta-merta.

Di institusi pemikir itu, aku belajar cara menulis esei-esei akademik dan semiakademik. Di sinilah aku mula menulis beberapa artikel sedemikian rupa. Dan semasa bertugas di sini jugalah aku menulis dan menyiapkan novel Ombak Senja.

[Bersambung...]

5 maklum balas:

nor ash burn berkata...

kisahnya semakin menarik.. tp dh lama akak nk tanya knp nvl amir diberi tajuk ombak senja?.. mungkin akak dh terlepas bc penjelasan amir sebelum ini.. maaf.

Amir Husaini berkata...

Saya belum pernah ceritakan kenapa saya pilih tajuk "Ombak Senja" rasanya. Nanti saya akan ceritakan :-)

©Opah De berkata...

Salam Amir...
Begitukah kisahnya? Teruja betul OD membaca. Tapi, OD sokong tindakan Amir sebab bahaya kerja tak sepenuh hati. Tambahan pula kerja dengan bahan-bahan kimia.
Nanti bila free, kita sembang tentang institusi pemikir tu ya. Intriguing la... tak terjangkau dek fikiran OD yang cetek nih... huhu.

Rebecca Ilham berkata...

Salam,

sekarang, dah susah nak 'lari' dari syarikat minyak tu. Kena bayar lump sum, tak ada lagi ansuran setiap bulan :)

Amir Husaini berkata...

Saudari Rebecca Ilham,
Saya tak pasti polisi sekarang bagaimana di syarikat tersebut, tetapi saya dapati polisi di situ sentiasa berubah dari semasa ke semasa.