Khamis, 5 Julai 2007

Membaca untuk menulis

Aku pernah diberitahu bahawa untuk menjadi seorang penulis yang baik, aku perlu banyak membaca. Membaca untuk mempelajari gaya bahasa, perkataan-perkataan baru dan sebagainya. Malah, aku pernah terbaca yang Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said membaca kamus untuk menghafal dan menguasai perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang sama.

Aku kira nasihat supaya "banyak membaca untuk menulis" perlu diamalkan oleh sesiapa sahaja yang mahu menjadi penulis. Apa pula yang perlu dibaca? Kamus dan tesaurus sudah semestinya teman setia seorang penulis. Namun, seorang penulis juga perlu membaca tulisan penulis-penulis yang lain untuk menyelidiki dan mempelajari daripada mereka.

Bagi diriku, aku membaca karya-karya penulis tempatan mahupun luar negara, sama ada penulis veteran atau yang baru. Karya-karya penulis yang ku sanjung seperti Azizi Haji Abdullah, Khadijah Hashim, Shahnon Ahmad, Hamka - sekadar menyebut beberapa nama - menjadi sajian ruji diri ini. Begitu juga karya-karya penulis generasi baru yang telah ada nama seperti Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid - juga sekadar menamakan beberapa orang - turut aku baca. Malah, aku juga membaca penulisan mereka yang dilabel sesetengah orang sebagai penulis picisan. Bukan untuk menilai tetapi untuk mempelajari. Bagi aku banyak yang boleh kita pelajari daripada apa yang ditulis oleh orang lain.

Walaupun demikian, aku harap kita tidak lupa untuk membaca Kitabullah, al-Quran al-Karim, yang sepatutnya menjadi bahan bacaan kita yang pertama dan paling utama. Malah, wahyu pertama yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sedari perkataan pertama lagi sudah memperingatkan manusia supaya membaca. Besar hikmahnya daripada arahan Allah SWT supaya kita membaca.

Bagi penulis, janganlah kita taksub dengan penulisan kita semata-mata. Bacalah tulisan orang lain supaya ianya membantu kita menjadi penulis yang lebih baik, insya-Allah.

7 maklum balas:

Tanpa Nama berkata...

salam Amir.. mmg seharusnya kt turut membaca karya penulis lain utk mempelajari cara mereka menulis, luahan pendpt mereka dn sebagainya... skrg nie sy sdng membaca SANGEETHA karya Azizi Haji Abdullah, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka.. sy kagum dgn cara beliau menulis.. bahkan byk perkataan2 yg belum pernah st temui sebelum ini sudah pun sy gariskn utk sy cari maknanya di kamus nnt. mmg sy setuju setiap penulis memerlukn kamus, baik kamus dlm bahasa Melayu mahupun Inggeris bersama mereka semasa berkarya.

Tanpa Nama berkata...

Salam Kak Nor, saya pun sedang baca "Sangeetha" dan memang banyak perkataan baru yang saya dapat. Sebenarnya Azizi Haji Abdullah banyak gunakan bahasa percakapan dari loghat utara, cuma saya tak pernah temui perkataan-perkataan ini digunakan di dalam novel. Dan saya suka dengan gaya bahasa Azizi Haji Abdullah, seperti bila dia gambarkan cara burung merbuk berbunyi. Memang unik sekali!

Ieyja Faisal berkata...

Assalamualaikum Encik Amir...

Saya bukanlah dari kalangan penulis atau sebagainya..cuma seorang pembaca yang meminati karya seni bernama Novel.

Bagi penulis..sudah tentu akan berusaha untuk menghasilkan karya yang boleh diterima oleh segenap lapisan pembaca..walaupun begitu kadang - kadang pasti ada kritikan dari pembaca atau peminat novel tentang sesebuah karya yang dihasilkan.

Sebagai pembaca..Sebenarnya memanglah kita mengharapkan sesebuah novel yang dibeli itu memenuhi citarasa..dan yang penting ianya disertai dengan mesej atau unsur yang boleh membina minda kita sebagai pembaca novel melayu.

Bukan tak ada orang berkata..membazirkan masa buang duit.. baca novel. Tetapi kalau seebuah novel itu mempunyai unsur seperti yang saya katakan tadi..kita memounyai hujah untuk membuktikan bahawa novel melayu adalah sebuah karya seni yang mampu membuka minda kita.

Justeru itu...Saya bersetuju. bahawa penulis juga perlu membaca novel penulis lain disamping itu, penulis juga perlu berganding bahu untuk mewujudkan sebuah karya yang bermutu dan berkualiti.

" Hdup Novel Melayu"

Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen berkata...

Waalaikumussalam saudari Ieyja,

Terima kasih atas kunjungan dan maklum balas. Penulis, saya kira, tidak akan dapat lari daripada kritikan. Seharusnya kritikan membina diterima demi memperbaiki diri.

Bagi pembaca pula, saya kira pembaca mempunyai pilihan untuk memilih apa yang hendak dibaca. Kalaupun hasil penulisan adalah mempunyai nilai sastera yang tinggi tetapi pembaca tidak berminat, itu adalah hak pembaca.

Apapun, seorang penulis perlu bijak "membaca" apa yang dikehendaki oleh pembaca di samping memenuhi keperluan santapan minda masyarakat, bukan setakat menulis "secukup rasa" atau untuk "syok sendiri."

Teruskan menyokong novel Melayu.

TINTARONA Publications Sdn Bhd berkata...

membaca merupakan aktivi input, sebagai penulis kita juga harus melakukan aktiviti output. menulis mencurahkan pengetahuan dan pengalaman adalah cara terbaik.

TINTARONA Publications Sdn Bhd berkata...

Seorang teman, Hj Hamzah daripada tggnu pernah memberitahu saya,' jika kita hidup tanpa meninggalkan sesuatu yang bermanfaat--seperti menulis buku misalnya--ibarat seorang lelaki tua yang mati tanpa berkahwin dan meninggalkan walau seorang zuriatpun! Renungkan...


www.tintarona.blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih saudara RMN atas perkongsian ini. :-)