Khamis, 28 Jun 2007

Menyelidik untuk menulis

Sebenarnya, mahu tidak mahu, seorang novelis perlu melakukan penyelidikan bagi menyiapkan karyanya. Ini tentunya memerlukan iltizam dan pengorbanan masa, tenaga dan wang di pihak novelis. Tanpa penyelidikan yang cukup, berkemungkinan karya yang dihasilkan akan "cacat" dan dipertikai oleh mereka yang lebih arif tentang perkara yang disampaikan di dalam penulisan tersebut.

Mungkin ada kisah yang tidak perlukan banyak penyelidikan - cukup sekadar pengalaman dan perasaan novelis itu sendiri. Tetapi hakikatnya, sedar atau tidak, untuk menyelami dan mengungkap pengalaman dan perasaan itu di dalam bentuk perkataan dan ayat adalah satu bentuk penyelidikan.

Penyelidikan bukan sekadar bermaksud menelaah kajian-kajian lepas di perpustakaan atau menemu bual pakar-pakar atau melakukan soal selidik atau membuat uji kaji di dalam makmal. Penyelidikan bagi seorang novelis juga merangkumi perkara-perkara seperti pencerapan, pemerhatian dan pemahaman tentang emosi manusia yang berlakon di atas pentas dunia - lantas diadun dengan fikiran kritikal dan analitikal - untuk menghasilkan satu karya yang benar-benar dapat menyentuh jiwa pembaca.

Pun begitu, aku fikir jika seorang novelis ingin menghasilkan karya-karya yang menyentuh perkara-perkara spesifik dan teknikal, penyelidikan yang perlu dijalankan adalah jauh lebih kompleks. Katakan seorang novelis mahu menghasilkan karya fiksyen sains yang bertemakan bioteknologi, seharusnya dia perlu merujuk kepada pakar bidang tersebut. Walaupun mungkin karyanya itu fiksyen sains, setidak-tidaknya usaha perlu dilakukan bagi memastikan hasil karyanya itu sehampir realiti yang mungkin.

Hal ini aku nyatakan kerana aku sendiri sedang melalui perkara yang sama dalam menyiapkan "Transgenesis." Aku mungkin mempunyai latar belakang sains tetapi daripada disiplin sains yang berbeza. Jadi aku tidak mempunyai kepakaran yang mendalam tentang bioteknologi. Justeru, tidak dapat tidak, aku perlu merujuk kepada mereka yang mempunyai kepakaran di dalam bidang canggih ini. Sungguhpun begitu, latar belakang sains yang aku miliki sedikit sebanyak memudahkan kefahaman aku tentang bioteknologi.

Aku sangat berterima kasih kepada Profesor Dr. Rofina Yasmin Othman, Pengarah Pusat Bioteknologi Agrikultur (CEBAR) di Universiti Malaya kerana meluangkan sedikit masanya yang sibuk itu untuk membantu aku di dalam penyelidikanku ini. Insya-Allah input yang beliau berikan akan menjadi maklumat yang berguna di dalam "Transgenesis" yang sedang ku garap ini.

6 maklum balas:

jamiyah berkata...

salam Amir... sy setuju seseorg penulis tu perlu ada cukup ilmu utk menulis sesuatu karya berat.. klu tak pun dia harus buat research sebelum menulis.

baru2 ini sy ada bc sebuah nvl yg ditulis oleh seorg penulis yg dh bnyk keluarkn bk.. sy jangkakn dia akan menghasilkn karya yg bermutu.. tp sy hampa kerana byk fakta yg dia ketepikan yg mana jika diambil kira fakta2 tersebut, maka jln citernya akan berubah sama sekali..

yg menjdkan sy hairan ialah bagaimana pihat penerbit blh terlepas pandang akan hal tersebut.. ia bknlah sesuatu yg blh dipejamkan sebelah mata.. sbb ia melibatkan hukum agama!

Amir Husaini berkata...

Salam saudari Jamiyah. Terima kasih kerana singgah di sini dan terima kasih atas pandangan yang diberi. Bagi saya, penulis memikul tanggungjawab paling utama dalam menjalankan penyelidikan untuk menulis karya. Pihak penerbit juga perlu memainkan peranannya dalam memastikan kesahihan dan ketepatan fakta apa lagi kalau melibatkan perkara-perkara agama, perundangan, prosedural, perubatan, teknikal dan yang sewaktu dengannya. Sebab itulah bagi saya, selepas penulis, editor memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Editor juga perlu banyak membaca (dalam kata lain, menyelidik) supaya dia arif dan maklum tentang banyak perkara. Ya, memang benar karya fiksyen bukan bersifat akademik tetapi ketepatan fakta perlu ada. Lainlah kalau kisah itu menggunakan genre fantasi yang mungkin berbeza sifatnya.

TINTARONA Publications Sdn Bhd berkata...

Menulis melalui pengalaman sebenar, kajian yang tuntas, pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu perkara akan menjadikan penulisan lebih segar dan bermakna. Saya setuju dengan saudara.

Serunai Faqir aka SF berkata...

Saya sedang menulis cerita sains fiksyen - baru saya sedar ia memerlukan kerja rumah yang teliti brebeza dengan garapan fantasi dll. Hehehe lenguh tengkuk membaca bahan2. Sakit mata - mencari bahan di internet. Meleleh air mata membaca buku2 sains yang tebal. Hahaha ingatkan buat sains fiksyen itu mudah. Itu baru karya sains fiksyen untuk remaja, belum lagi untuk dewasa. :)

Amir Husaini berkata...

Saudara RMN (Tintarona Publications): Terima kasih kerana sudi ke sini. Memang kerja menulis tidak mudah kerana tanpa penyelidikan, penulisan akan menjadi hambar.

Amir Husaini berkata...

Saudara Serunai Faqir, selamat maju jaya dalam menghasilkan karya fiksyen sains. Ya, memang ianya tidak mudah seperti yang difikir kebanyakan orang.