Khamis, 12 Julai 2007

Inilah kisahku [Bahagian 1]

Kerap aku ditanya soalan mengapa seorang yang mempunyai latar belakang sains memilih untuk berkarya? Perlu aku jelaskan di sini bahawa aku tidak pernah meninggalkan satu bidang untuk terlibat di dalam bidang yang lain. Aku masih terlibat dengan kerja-kerja yang relevan dengan latar belakangku. Cuma, aku juga memilih untuk menyuburkan minat yang sekian lama tersemai di dalam sanubariku.

Dan inilah kisahku jika kalian sudi membaca.

Memang semenjak di bangku sekolah lagi, aku telah meminati bidang penulisan walaupun tidak pernah serius dalam menyuburkan minat ini. Keluargaku kerap berpindah, dari utara tanah air ke selatan dan balik semula ke utara, kerana tugas ayahku ketika itu. Hanya pada tahun 1986, barulah aku tinggal tetap di satu tempat untuk satu tempoh yang agak lama. Pada tahun itu jugalah sebenarnya, hatiku tertarik dengan dunia penulisan.

Tarikan ini berpunca daripada satu nama: Azizi Haji Abdullah. Pada tahun 1986, terbit sebuah drama di kaca televisyen iaitu "Seorang Tua di Kaki Gunung." Entah mengapa aku tertarik kepada kisah ini. Hanya selepas itu barulah aku tahu bahawa drama ini telah diadaptasi daripada sebuah novel dengan tajuk yang sama karya Azizi Haji Abdullah. Ketika itu, timbul satu soalan (yang menjadi klise hari ini), "Rasa pernah dengar nama itu, tapi di mana ya?"

Rupa-rupanya Azizi Haji Abdullah itu adalah Ustaz Azizi yang mengajar di sekolahku. Walaupun dia tidak pernah mengajar kelasku tetapi memang dia dikenali di sekolah. Mana tidaknya, Ustaz Azizi adalah di antara orang yang pertama, jika tidak orang pertama, di sekolah yang memiliki kereta Proton Saga. Mungkin juga dia di antara orang paling awal yang memiliki Proton Saga di Kulim pada masa itu. Proton pada ketika itu baru berusia setahun jagung. Aku masih ingat lagi, Proton Saga warna biru muda milik Ustaz Azizi. Mungkin ada di antara kita yang masih ingat iklan Proton Saga yang terawal iaitu visual yang menunjukkan orang ramai kagum lantas mengetuk-ngetuk Proton Saga menunjukkan ketahanan kereta nasional itu. Syyy... jangan beritahu Ustaz Azizi, kami murid-murid ketika itu memang kagum dengan Proton Saga, juga telah mengetuk-ngetuk keretanya untuk menguji sendiri ketahanan kereta nasional itu!

Pokoknya, di dalam diam, aku menjadikan Ustaz Azizi sebagai doronganku untuk cuba menulis. Tetapi pada peringkat awal, minatku tidak terlalu berkembang. Fokusku lebih kepada akademik. Hanya sekali-sekala bila ada peluang, aku menulis cerpen. Cerpen pertama yang ditulis bertajuk "Meniti Kejayaan" yang terbit di dalam majalah sekolah pada tahun 1989. Pada tahun berikutnya, aku menulis sebuah lagi cerpen yang juga terbit di dalam majalah sekolah yang sama. Tajuknya? "Ombak Senja."

Ya, tajuknya sama dengan tajuk novel sulungku tapi kisahnya sama sekali berbeza. Cerpen "Ombak Senja" yang ditulis hampir 17 tahun yang lalu itu merupakan kisah seorang pelajar. Kisah "Ombak Senja" yang dinovelkan adalah kisah yang berbeza. Tapi bila difikirkan kembali, cerpen "Ombak Senja" itu boleh menjadi prekuel kepada novel Ombak Senja kerana watak di dalam cerpen itu tidak lari daripada watak "Hairi" di dalam novel.

Zaman sekolahku tidak banyak aku tumpukan kepada penulisan. Sebaliknya aku lebih berminat kepada drama pada ketika itu. Aku ada menulis beberapa skrip untuk pementasan drama sekolah. Di antara 1987 dan 1991, aku terlibat dengan pelbagai pementasan drama di peringkat sekolah. Walau bagaimanapun, penglibatan aku ini tidak serius, sekadar suka-suka.

Aku juga pada ketika itu "dipaksa" menjadi pendebat Bahasa Inggeris untuk sekolah. Aku tidak suka berdebat tetapi kerana "arahan" Pengetua yang mahukan anak Melayu turut sama terlibat di dalam debat Bahasa Inggeris, aku terpaksa mengalah. Ini berlaku pada tahun 1990. Sekolahku merupakan juara bertahan bagi satu pertandingan debat Bahasa Inggeris bagi zon utara. Ketika inilah aku belajar membuat penyelidikan untuk mencari bahan bagi perdebatan dan menulis ucapan perdebatan. Bayangkan kesukaran membuat penyelidikan pada zaman sebelum Internet digunakan. Apapun, ini terbukti menjadi latihan asas yang berguna bagiku untuk tahun-tahun mendatang. Alhamdulillah, sekolahku berjaya mempertahankan kejuaraan debat ini, dan aku muncul pendebat terbaik. Ironis, kerana aku tidak suka berdebat.

Tahun 1991 adalah tahun penting bagi aku. Aku menduduki SPM pada tahun itu. Tapi takdir memang boleh mengejutkan sesiapa. Tanpa diduga dan tanpa dirancang, aku telah dipilih untuk mengikuti pengajian di United Kingdom sebelum keputusan SPM keluar. Maka, semasa kawan-kawanku masih berseronok bercuti panjang selepas SPM, tanggal 10 Januari 1992 aku telah menjejakkan kakiku di negara yang pernah menjajah tanah airku.

Dan segala yang berlaku itu sememangnya telah ditakdirkan. Di bumi UK tempat aku berkelana itulah, aku mula mengenali dan menyedari betapa tajamnya pena seorang penulis.

[Bersambung...]

2 maklum balas:

Tanpa Nama berkata...

akak pasal berdebat tak pandai, tp pasal membebel .. mmglah juara! klu sekali dh buka mulut.. susah nk berhenti.. eh, seronok kisah amir.. sambung cepat, tak sabar nk baca!

Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen berkata...

Insya-Allah saya akan sambung. [Macam tulis memoir ler pulak]. :-)