Nampaknya komentar aku pada minggu lepas mendapat perhatian sedikit sebanyak daripada sahabat-sahabat penulis dan novelis. Jadi sengaja aku panjangkan perbincangan mengenai perkara yang sama menerusi forum ini.
Aku sangat faham kebimbangan kebanyakan penulis untuk membawa naskhah mereka ke layar sebagai filem atau drama. Kebimbangan ini, seperti yang disuarakan oleh Serunai Faqir dan Dina Najat, ada asasnya. Ramai yang tidak mahu karya mereka dirosakkan atau dinodai menyebabkan naskhah itu rosak sama sekali apabila diadaptasi. Aku fikir, siapa sahaja yang bergelar novelis mempunyai keresahan yang sama.
Satu jalan keluar bagi masalah ini adalah bagi novelis itu sendiri yang menghasilkan skrip berdasarkan naskhahnya. Namun aku kira tidak ramai yang sanggup berbuat demikian kerana menulis skrip adalah disiplin yang berbeza daripada menulis novel. Ya, memang ada yang boleh melakukan kedua-duanya tetapi aku kira jumlahnya tidak ramai.
Ada di antara novelis yang mula atau telah berjinak-jinak dengan dunia penulisan skrip. Semasa Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini, setahu aku tiga daripada pemenangnya adalah novelis. Selain daripada diriku, dua lagi yang aku maksudkan adalah Faisal Tehrani dan Kushi Hirdan. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup juga mengkhabarkan yang Izza Aripin turut sama akan terjun ke dalam dunia penulisan skrip drama ini.
Namun, hakikatnya menulis skrip bukan semudah yang difikirkan. Justeru, tidak hairanlah proses mengadaptasi novel ke layar adalah suatu perkara yang tidak mudah dilakukan. Proses ini memerlukan kreativiti dan kefahaman yang baik oleh penulis skrip terhadap naskhah yang menjadi sumber adaptasi. Jika penulis skrip tidak dapat menghayati kisah yang disampaikan di dalam novel, maka akan hancurlah karya itu apabila didramakan. Apabila ini berlaku, naskhah novel itu bukan "diangkat menjadi drama bermutu" tetapi "diturunkan martabatnya menjadi cerita murahan." Pastinya bukan ini yang dikehendaki oleh novelis.
Sekadar mengambil contoh, lihat karya terkenal J.K. Rowling yang menjadikannya lebih kaya daripada Ratu Elizabeth II. Karya yang dimaksudkan adalah siri novel Harry Potter. Umum maklum bahawa Rowling telah menghasilkan tujuh edisi novel berkenaan Harry Potter (novel ketujuh Harry Potter and the Deathly Hallows akan berada di pasaran 21 Julai nanti). Daripada tujuh novel yang dihasilkan Rowling ini, empat telah difilemkan dan yang kelima akan berada pada bulan November nanti.
Seperti kebanyakan novelis, Rowling tidak mahu filem berkenaan Harry Potter "lari" daripada karya asalnya. Dia mahukan supaya jalan cerita di dalam filem mengikut plot di dalam novel. Logik akal menyatakan ini suatu perkara yang sukar dilakukan. Pun begitu, Rowling membenarkan beberapa unsur di dalam karyanya dikeluarkan bagi tujuan adaptasi selagi mana plot cerita tidak lari.
Perkara yang jelas di sini adalah proses adaptasi novel memerlukan sedikit sebanyak pengubahsuaian kepada plot asal. Itulah sebabnya ia dipanggil "adaptasi." Walaupun perlu ada pengubahsuaian di sana sini, perkara pokok ialah jalan cerita di dalam filem atau drama tidak lari atau tidak banyak berbeza daripada jalan cerita asal di dalam novel. Jika ini dilakukan, maka ianya bertepatan dengan konsep "adaptasi." Namun, jika banyak perubahan dilakukan sehingga plotnya berbeza sama sekali, maka ianya bukan lagi "adaptasi." Pada ketika itu, mungkin istilah yang lebih sesuai ialah "korupsi."
Khamis, 21 Jun 2007
Dari kertas ke layar
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 maklum balas:
sy rasa tidak salah jika seorg novelis itu belajar cara2 membuat filem agar dia dpt menerbitkn karyanya sendiri. Barulah nanti dia blh menjaga karyanya agar tidak berubah dpd cerita asal... sekadar pendapat.
Saya kira ia akan mengembangkan seseorang penulis meski disiplin yang berbeza, saya masih dalam proses pembelajaran, alang2 sudah menulis sepenuh masa. Tidak begitu? Mana tahu kisah fantasi dapat diadaptasikan? Hehee
Saudari Norisah dan saudara Serunai Faqir... Saya setuju dengan pandangan kalian. Mungkin sudah sampai masanya penulis novel juga berjinak-jinak dengan penulisan skrip. Tiada salahnya kita belajar ilmu baru.
Sekadar pandangan seorang pembaca, kerana saya bukan penulis. Secara peribadi, saya lebih puas membaca sesebuah karya berbanding menonton adaptasinya. Mungkin sebab seperti yang dibincangkan, apabila seorang lain menulis skrip adaptasi, sukar untuk digarap sepenuhnya segala plot dan emosi karya asal tersebut. Baguslah jika penulis sendiri berjaya menghasilkan skrip dari karya asal beliau.
Saudari Jie, bagi saya, berjaya atau tidak sesuatu adaptasi banyak bergantung kepada harapan yang diletakkan oleh khalayak pembaca/penonton ke atas naskhah tersebut. Bagi yang belum pernah membaca karya asal tetapi menonton adaptasi, berkemungkinan harapan yang diletakkan tidak tinggi. Tetapi bagi yang amat maklum tentang karya asal, sudah pasti harapan tinggi diletakkan kepada adaptasi ini. Golongan "purists" mungkin membantah sebarang perubahan yang dibuat baik perubahan yang terpaksa dibuat mahupun perubahan yang dibuat menggunakan lesen kreativiti. Macam manapun, saya setuju dengan saudari bahawa lebih bagus andai penulis sendiri dapat mengadaptasikan karyanya.
Catat Ulasan