Khamis, 14 Jun 2007

Adaptasi novel

Beberapa hari yang lepas, aku bertemu dengan seorang sahabat yang bekerja di sebuah syarikat yang menerbitkan drama televisyen dan filem cereka. Aku diberitahu oleh sahabatku ini yang sekarang terdapat kekurangan skrip untuk didramakan bagi tujuan tayangan di kaca televisyen. Ini kerana slot yang ada di televisyen begitu banyak tetapi cerita dan skrip yang ada tidak mampu menampung kekosongan yang ada.

Kata-katanya ini membuat aku terfikir tentang drama-drama yang disiarkan. Aku bukanlah penonton setia drama-drama di televisyen. Namun, sesekali sempat jugalah menonton drama. Ada yang memang bagus dari sudut jalan cerita, teknik pengarahan dan kualiti lakonan. Namun, aku rasa banyak yang sekadar melepaskan batuk di tangga kerana gagal meninggalkan kesan kepada penonton. Mungkin sebab itu jugalah aku terasa sedikit liat untuk memacakkan diriku di hadapan peti televisyen untuk menonton drama.

Jangan silap faham. Bukan aku tidak sokong filem atau drama Melayu. Jauh daripada itu. Cumanya, aku dambakan sebuah drama yang berkualiti. Memang ada yang berkualiti tetapi kuantitinya tidak banyak.

Aku berpandangan bahawa banyak hasil penulisan yang telah diterbitkan yang mempunyai kisah-kisah yang menarik yang boleh diadaptasi untuk didramakan atau difilemkan. Daripada kita mengadaptasi telenovela, filem atau novel luar negara, aku rasa lebih baik kita mengambil novel-novel tempatan bagi tujuan ini.

Tapi sayang, tidak banyak penerbit yang mahu melakukan perkara ini. Aku cuma dapat menamakan beberapa filem (itupun daripada tahun 1980-an dan 1990-an semasa zaman remajaku) yang diadaptasi daripada novel. Ranjau Sepanjang Jalan (1983) daripada karya klasik Shahnon Ahmad, Mira Edora (1990) daripada karya Khadijah Hashim dan Black Widow Wajah Ayu (1994) daripada karya Raja Azmi. Kebetulan, Mira Edora adalah novel Melayu pertama yang aku baca semasa zaman remajaku, namun aku sedikit kecewa dengan adaptasi yang dilakukan oleh Zulkiflee M. Osman tersebut. Mungkin ada lagi adaptasi lain yang tidak ku ketahui.

Bagi drama televisyen pula, aku cuma dapat menamakan satu adaptasi - itupun sekali lagi daripada zaman remajaku. Adaptasi yang aku maksudkan ialah Seorang Tua Di Kaki Gunung daripada karya klasik dengan tajuk yang sama oleh Azizi Haji Abdullah.

Mungkin sudah sampai masanya penerbit-penerbit filem dan drama melihat kepada khazanah novel tempatan bagi tujuan adaptasi. Ini pastinya boleh menjadi satu daya penggerak kepada novelis-novelis tempatan untuk lebih bersemangat dalam penghasilan karya. Wallahualam.

6 maklum balas:

dahirisaini berkata...

sesuatu yg amat menarik perhatian saya, jika sdr amir kenal sesiapa penerbit yg mahukan skrip atau kerja menulis skrip, saya dpt membantu kerana saya byk skrip yg terbiar (masih trauma dgn prejudisme sikap penerbit yg lintah darat maaf cakap) apapun saya sudi berkerjasama sama ada utk mengadaptasi novel2 saya atau penulis lain atas kewajaran yang telus dan ikhlas. salam hormat.

Amir Husaini berkata...

Saudara Dahiri, insya-Allah saya akan cuba berhubung dengan sahabat saya untuk bertanyakan tentang hal ini.

Serunai Faqir aka SF berkata...

Kalau begitu nipislah harapan novel bercorak fantasi saya untuk didramakan. Kalau di sini yang membuatnya, maaf cakap, hancurlah ...
Hehehe cover novel fantasi saya sudah keluar. Mai jenguk. : )

Amir Husaini berkata...

Tahniah atas kelahiran novel fantasi saudara. Siapa penerbitnya dan bila boleh didapati di pasaran?

Dina Najat berkata...

Askm Amir,

Seorang tua di kaki gunung adalah drama tv yg myentuh hati. Tak silap, lakonan atuknya ialah tamam idris. ( betul tak?)

Mmg, x byk drama yang bkualiti, cuma yg terbaru sekeras kerikil, airmata ibu, dan dina paling suka drama lakonan rozie rasyid...tajuknya tak ingat tapi kisah wanita yg tanggung suami belajar kat u tapi suaminya bcinta dgn prmpuan lain. Sedih cita tuh..

Tapi, kbanyakn novelis x mahu hantar karya jadi manuskrip psl x bimbang bila kuar cita jadi lain. Tak bermutu.

Cuma, penting sgt skrip yg bagus. Kalau tak, byk cita/ yg tak bermesej dan kadang2 bunsur tahyul, pemujaan dn khurafat serta cita2 yg x blh dijadikan makanan minda akan disuapkan kpd penonton. Rugilah anak bangsa nanti....

Amir Husaini berkata...

Waalaikumussalam Dina,
Terima kasih atas pandangan. Ya, memang kalau tak salah ingatan saya, "Seorang Tua di Kaki Gunung" dilakonkan oleh Tamam Idris. Masih boleh terbayang lagi lakonannya yang mantap terutama pada babak di mana dia memotong kakinya sendiri. Ngeri rasa waktu menonton tu walaupun tak ditunjukkan secara visual. Riak muka pelakon sudah cukup untuk menyampaikan apa yang berlaku.
Saya kira memang benar banyak novelis keberatan untuk membenarkan karya mereka didramakan. Bagi saya ada dua jalan keluar. Pertama, novelis sendiri menulis lakon tv/lakon layar bagi ceritanya itu. Ini bagi menjamin jalan cerita tak lari. Kedua, novelis memahami maksud 'adaptasi' yakni akan ada penyesuaian dan olahan bagi disesuaikan bagi tujuan drama. Tidak mungkin novel boleh diterjemahkan 100% ke dalam drama. Macam manapun, saya berpandangan bahawa soal cerita tak menjadi masalah sangat. Lazimnya yang menentukan sama ada drama berkualiti atau tidak adalah pengarah dan pelakon. Tidak guna cerita yang bagus tetapi pelakon yang diambil sekadar lawa tapi tak pandai berlakon. Pengarah juga penting bagi memastikan agar novel yang didramakan tidak menjadi murahan. Banyak lagi yang saya nak celoteh di sini pasal perkara ni, tapi takpalah, kita simpan untuk minggu depan, insya-Allah. :)