Selasa, 3 Mac 2009

Media, artis dan ilmuwan

Buku Sekilas Pandang Ismail Haji Ibrahim sering mengundang senyum apabila aku membaca isinya. Banyak perkara yang ditulis oleh Profesor Dato' Dr Ismail Haji Ibrahim menyentuh hal-hal yang sering diperkatakan ramai. Beliau menggunakan bahasa yang mudah tetapi penuh makna dan tajam maksudnya.

Sewaktu membicarakan mengenai media elektronik yang lebih kerap menonjolkan golongan artis, beliau menulis:

Peratusan program pendidikan dan maklumat amat kecil. Jika ada pun, program pendidikan dan maklumat ini sering disiarkan ketika orang sibuk bekerja, orang bersembahyang di masjid ataupun ketika semua orang sudah masuk tidur. Masa yang dikenali sebagai masa utama itu hanya diisi dengan program hiburan.
[Halaman 144]
Bila difikir-fikir kembali, memang benar masa utama di televisyen dan radio lebih ditumpukan kepada hiburan. Banyak penaja berebut-rebut mahu membeli ruang udara ketika waktu utama kerana jumlah penonton dan pendengar yang tinggi pada waktu tersebut. Jika waktu utama diisi dengan program-program pendidikan atau maklumat, barangkali tidak ada yang mahu menonton ataupun mendengar.

Kalau ada pun program-program sedemikian rupa, ia dipakejkan dengan penuh glamor. Adakalanya keglamoran penyampai program menenggelamkan isi kandungan program itu.

0 maklum balas: