Sudah sebulan aku tidak mengemas kini blog ini. Kebelakangan ini aku jarang berpeluang untuk memasuki dunia siber. Sambungan Internet di pejabat sudah hampir tiga bulan bermasalah. Hampir naik bosan cuba menghubungi pihak yang sepatutnya menguruskan perkara ini, namun masih belum ada tindakan yang diambil.
Di rumah pula, aku jarang menggunakan komputer dan Internet semenjak kelahiran putera keduaku tiga bulan lalu. Ini kerana banyak masa di rumah aku luangkan melayan keletah anak-anak. Hanya sesekali aku akan bersengkang mata di hadapan komputer sama ada untuk menyiapkan kerja atau karya.
Satu-satunya peluang yang aku ada untuk memasuki dunia siber sekarang ini adalah apabila aku singgah di kafe siber. Itu pun sekadar untuk menyemak e-mel, melayari beberapa blog dan jika ada masa, mengemas kini blog utama aku iaitu TeropongSkop.
Dan jarang-jarang aku akan dapat meluangkan masa di dalam dunia siber dari rumah seperti malam ini. Justeru, di dalam kesempatan ini, aku ingin merakamkan ucapan "Salam Aidiladha" buat sahabat-sahabat penulis, pengunjung-pengunjung blog ini dan semua Muslimin dan Muslimat. Bagi yang belum ke Tanah Suci Makkah al-Mukaramah bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima, marilah kita sama-sama berdoa agar kita akan dipanjangkan umur, diberikan kesihatan dan dianugerahkan kemampuan untuk menjadi tetamu Allah SWT. Bagi yang sedang berada di Tanah Suci sekarang ini, didoakan moga akan beroleh haji yang mabrur. Bagi yang menjalankan ibadah korban, semoga ibadah ini diterima dan beroleh pahala yang besar.
Walau apa sekalipun, marilah kita berdoa semoga kita mampu menghayati dan menterjemahkan erti pengorbanan yang sebenar seperti yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail. Semoga keimanan dan ketakwaan kita bertambah utuh, insya-Allah.
Khamis, 20 Disember 2007
Salam Aidiladha
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 maklum balas:
Catat Ulasan