Sabtu, 6 Oktober 2007

Inilah kisahku [Bahagian 8]

Apabila aku meninggalkan institusi pemikir Islam yang menjadi tempat aku mencari rezeki selama hampir 7 setengah tahun itu, aku terfikir kembali untuk menerbitkan Ombak Senja. Ini ditambah pula dengan dorongan novelis Izza Aripin yang menggalakkan supaya aku menerbitkan naskhah tersebut walaupun usianya sudah menghampiri satu dekad.

Setelah berfikir masak-masak, akhirnya aku memberanikan diri menghantarkan manuskrip Ombak Senja kepada Utusan Publications and Distributors tanggal 28 Jun 2006. Ketika itu aku telah memberikan tajuk baru untuk novel ini iaitu Stigma.

Berita gembira aku terima pada 8 September 2006. Manuskrip tersebut telah diterima untuk diterbitkan di bawah imprint TintaRona. Pada 7 Disember 2006 pula, aku diminta memikirkan tajuk lain bagi novel ini kerana penerbit merasakan tajuk Stigma tidak begitu sesuai. Ironinya, daripada beberapa tajuk yang dikemukakan, tajuk asal novel ini iaitu Ombak Senja yang menjadi pilihan penerbit.

Dan nama "Amir Husaini" juga lahir pada ketika itu iaitu tanggal 14 Disember 2006. Setelah berbincang dengan penerbit, difikirkan nama ini (yang merupakan nama putera sulungku) mampu menarik perhatian pembaca. Jadi, semenjak itulah aku menggunakan nama pena ini untuk menulis.

Akhirnya, pada bulan Januari 2007, novel Ombak Senja menemui pembaca di pasaran.

[Tamat]

3 maklum balas:

Tanpa Nama berkata...

dlm apa2 hal pun kita mesti berfikiran terbuka.. kalau dia org tolak karya kita, duduk fikir balik di mana silapnya dan seterusnya baca dn nilai balik apa yg dah kita tulis dan perbaiki mana2 yg patut... sebagai seseorg yg baru nak menceburi bidang penulisan atau apa jua bidang sekali pun, kita harus ada kesanggupan untuk menerima apa saja teguran dan bersedia untuk belajar dan menceduk sebanyak mungkin ilmu yg ada dpd mereka yg sudah berpengalaman... jgn sesekali menganggap diri kita benar dn mereka salah kerana sikap seperti itu tidak akan membantu kita untuk menjadi yg terbaik di dlm pekerjaan kita nanti. dan sikap cepat berputus asa sebenarnya tidak patut diamalkan. kadang2 kita kena amalkan sikap 'degil' utk terus berusaha mendapatkan apa yg kita hajatkan dengan apa cara sekali pun... sepuluh tahun terlalu lama untuk bertindak. seharusnya sesaat pun kita jgn biarkan hati kita menjadi lemah utk mengaku kalah!

akak pun ada pengalaman seperti amir.. cuma bezanya akak tak tunjukkan sikap mahu mengalah pd mereka... akak cuba dan cuba sehingga mereka terima karya akak! dan akak yakin, jika kita tunjukkan kesungguhan kita, mereka pun akan membantu kita untuk menghasilkan sesuatu!

Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen berkata...

Terima kasih atas maklum balas dan nasihat daripada Kak Nor.

Apabila manuskrip saya ditolak pertama kali saya menghantarnya, memang rasa kecewa itu ada. Tetapi kalau nak dikatakan saya mengatakan mereka salah, tidak juga. Seperti yang saya coretkan, saya merasakan mungkin kisah yang saya tulis tidak sesuai dengan khalayak sasaran pembaca syarikat tersebut. Saya pendamkan hasrat untuk menerbitkan novel ini kerana banyak sebab.

Pertama, saya yakin banyak lagi perkara yang perlu saya belajar. Saya gunakan masa yang ada untuk membaca tulisan-tulisan mereka yang telah lama menulis. Saya cuba kaji kaedah penulisan mereka demi untuk memperbaiki diri.

Kedua, dan saya kira sebab paling utama, apabila saya bertugas di institut pemikir Islam di antara 1998 dan 2005, hambatan tugas di situ begitu mendesak sehingga saya tidak menjadikan penerbitan novel ini sebagai satu prioriti. Di dalam tempoh ini saya lebih menumpukan kepada penerbitan dan penulisan akademik. Alhamdulillah, saya kira ini adalah satu hikmah kerana saya dapat kenal pasti di mana kekuatan dan kelemahan saya di dalam penulisan.

Apapun, istilah "putus asa" tidak ada di dalam kamus saya. Walau sesukar mana sekalipun cabaran yang dihadapi, saya tidak pernah mengaku kalah. Mungkin apa yang berlaku boleh diistilahkan sebagai "strategic retreat" untuk menghisab kembali dan menilai semula prioriti saya.

Saya percaya setiap yang berlaku yang telah direncanakan oleh Allah SWT itu ada hikmahnya sama ada tersurat atau tersirat. Andai kata novel "Ombak Senja" lahir pada tahun-tahun akhir 1990an, saya yakin novelis bernama Amir Husaini tidak akan wujud hari ini.

Wallahu'alam.

Unknown berkata...

Salam Amir...
OD bersetuju dengan Nor Ash Burn yang tersohor itu. Alhamdulillah, OD belum lagi merasai pengalaman itu (sebaliknya, OD lak yang tarik balik novel OD selepas bertekak dengan tuan punya syarikat penerbitan tersebut... ekekekeekekeke... sabar saja aku! Belum apa-apa OD dah eksyen).

Namun, OD bersyukur. OD tahu kini, apa yang berlaku adalah yang terbaik untuk OD.

OD berpuas hati dengan cover depan dan belakang novel OD tu. Kalau dengan kompeni yang pertama, rasanya cover yang mereka lukiskan tak akan secanggih mana.

OD juga puas hati kerana UPND tak ganggu jalan cerita OD. Puan Faridah seorang editor yang baik. Dia hanya memotong mana yang perlu tanpa merosakkan kreativiti dan gaya penulis.

Dari cerita yang OD dengar, editor di kompeni pertama tu suka merosakkan garapan penulis yang menghantar mss kepada mereka. Hilang langsung sentuhan penulis itu. Yang tinggal, sentuhan si editor, bak tikus membaiki labu.

Syukur ke tak syukur novel OD bukan mereka yang terbitkan? Syukur sangat-sangat.