Jumaat, 28 September 2007

Inilah kisahku [Bahagian 7]

Seperti yang aku nyatakan, hanya apabila Rabiatul Adawiyah menyarankan kepadaku supaya dihantar manuskrip Ombak Senja pada tahun 1999, barulah aku memberanikan diri untuk berbuat demikian. Sebagai penulis yang baru menghasilkan karya sulung, aku sedikit sebanyak mempunyai rasa gusar dan tidak yakin. Bolehkah karya aku diterbitkan? Adakah orang akan dapat menerima aku sebagai penulis novel?

Rabiatul Adawiyah memberikan aku nama seorang editor yang bertugas di sebuah syarikat penerbitan novel yang memang terkenal dengan karya-karya "kreatif." Memang syarikat kreatif ini amat dikenali dengan novel-novel popular yang digilai pembaca. Tambahan pula, pada waktu itu (selepas kegawatan ekonomi dan politik yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998), tidak banyak syarikat yang berani menerbitkan novel. Jadi, pada suatu hari pada tahun 1999, aku pergi ke pejabat syarikat penerbitan itu di Bangsar. Dengan hati yang berdebar-debar, aku serahkan manuskrip Ombak Senja kepada editor tersebut.

Pada waktu yang sama, seorang lagi rakan sekerja yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mencadangkan supaya aku menyerahkan manuskrip Ombak Senja kepada DBP. Pun begitu, Kak Wan (panggilan aku kepada rakan sekerja ini) mengingatkan aku yang proses penerbitan di DBP mengambil masa yang lama. Akhirnya, aku membuat keputusan sekadar menyerahkan manuskrip itu kepada seorang editor yang pernah bertugas di DBP iaitu saudara Ali Majod untuk dinilai tetapi bukan untuk diterbit.

Kira-kira dua bulan selepas itu, aku menerima maklum balas daripada syarikat penerbitan di Bangsar. Surat yang aku terima dibuka dengan penuh rasa gundah. Walaupun aku tidak lagi menyimpan surat tersebut, isi kandungannya masih aku ingat sehingga hari ini. Antara lain, surat itu menyatakan bahawa karya aku itu ditolak oleh syarikat itu kerana ceritanya membosankan dan tidak menarik.

Ya, aku tidak nafikan yang aku kecewa dengan kandungan itu. Tetapi aku pasrah kerana aku hanyalah seorang insan yang baru terfikir mahu terjun ke dunia penulisan. Siapalah aku untuk berhujah dengan mereka yang telah lama menilai, menyunting dan menerbitkan novel?

Tidak lama selepas itu, aku terima pula maklum balas daripada saudara Ali Majod. Aku pernah kongsikan maklum balas ini di dalam blog ini pada pertengahan tahun lepas. Pautan ke maklum balas ini boleh didapati dengan mengklik di sini. Agak menarik apabila membaca maklum balas ini kerana ia sama sekali berbeza dengan pandangan syarikat penerbitan di Bangsar itu. Aku fikir mungkin kisah Ombak Senja tidak sesuai dengan sasaran pembaca syarikat tersebut.

Walau bagaimanapun, disebabkan hambatan tugas di institusi pemikir Islam tempat aku bertugas, aku lupakan hajat aku untuk menjadi penulis novel. Manuskrip Ombak Senja aku simpan di dalam laci di pejabat. Dan aku hampir terlupa tentang manuskrip tersebut sepanjang aku bertugas di situ sehingga akhir tahun 2005 yang lalu.

4 maklum balas:

©Opah De berkata...

Salam Amir...
Sekarang, siapa yang rugi, kan? Tak kisahlah... rezeki kita bukan dengan dia dan rezeki dia bukan dengan kita.
OD doakan yang terbagus sahaja. Semoga GB akan hubungi Amir lagi.

Amir Husaini berkata...

Salam OD,
Rezeki kita tak siapa yang tahu sebenarnya kerana ia ketentuan Tuhan. Mungkin ada hikmah kenapa syarikat di Bangsar menolak manuskrip OS hampir 10 tahun yang lalu. Wallahu'alam.

mohamadkholid berkata...

saya hampir mempunyai pengalaman yang serupa - sebuah novel saya - 'Kabus di Perbukitan' ditolak sebuah syarikat kerana katanya plot yang tidak jelas. Saya simpan beberapa tahun dan kemudian hantar ke sayembara jubli emas DBP. Menang pulak hadiah saguhati! Siapa sangka?

Amir Husaini berkata...

Saudara Kholid, saya rasa penilaian syarikat penerbitan dibuat di atas banyak faktor seperti kehendak pasaran dan demografi pembaca mereka. Jadi ada kalanya, karya yang tidak memenuhi faktor-faktor ini akan ditolak.