Khamis, 26 Julai 2007

Tidak ketandusan sebenarnya

Pengumuman: "Inilah Kisahku" akan disambung pada minggu hadapan untuk memberi laluan kepada komentar khas ini. Harap maklum dan terima kasih.

Aku pernah catatkan di blog ini tentang karya-karya fiksyen sains tidak berapa lama dahulu. Aku kira soalan yang diajukan juga boleh diajukan bagi karya-karya fantasi. Dengan pelancaran novel Harry Potter yang ketujuh iaitu Harry Potter and the Deathly Hallows di pasaran, jelas nampak kegilaan pembaca terhadap karya J.K. Rowling ini. Pelbagai sebab dan teori telah diketengahkan kenapa novel ini mendapat sambutan yang begitu hangat. Aku tidak akan menyentuh sangat tentang soal ini kerana perbincangan mengenainya boleh dibaca di beberapa blog lain seperti blog TintaRona, blog saudari Nisah Haron dan blog saudara John Norafizan.

Cuma mungkin yang ingin aku nyatakan di sini adalah Malaysia tidak pernah ketandusan penulis-penulis fantasi dan fiksyen sains. Cuma mungkin kita sendiri yang tidak sedar atau tidak mahu membuka mata kepada karya-karya penulis tempatan.

Kita ada saudara Faisal Tehrani dengan karya-karyanya yang unik seperti 1515 dan Ikan Fugu, Lukisan & Jimson - sekadar menyebut dua tajuk. Ikan Fugu, Lukisan & Jimson adalah buku kedua di dalam siri "Detektif Indigo" karya penulis prolifik ini.

Kita juga ada saudari Hani Ismail yang tampil dengan genre fiksyen sains menerusi Pengembaraan Suzaimi iaitu buku pertama siri "Akademi Gemilang."

Malaysia juga beruntung kerana mempunyai penulis fantasi seperti saudara Serunai Faqir yang telah menghasilkan Dewangga Sakti yang merupakan bahagian pertama di dalam triloginya mengenai pengembaraan seorang remaja bernama Jaka Suria.

Terbaru, telah lahir novel Ajak Kadir Mencari Buku Sakti Kasyorga karya saudari E.M. Muhammad. Ini adalah novel yang menggunakan genre fantasi yang dianggap sebagai "jawapan" kepada Harry Potter. Aku difahamkan novel ini juga yang pertama daripada siri mengenai pengembaraan Ajak Kadir.

Lihat sahaja watak-watak yang mewarnai dunia penulisan fiksyen sains dan fantasi di negara kita. Kita punya Nyemah Mulia, Detektif Indigo, Suzaimi dan rakan-rakan di Akademi Gemilang, Jaka Suria dan Ajak Kadir! Yang belum kita punyai adalah generasi pembaca yang mahu menyambar karya-karya ini daripada rak-rak di kedai-kedai buku. Pastinya, semua kita mempunyai tanggungjawab untuk menyemarakkan industri penerbitan negara, tidak kiralah sama ada kita ini penulis, penerbit, pengedar, penjual, pengkritik mahupun pembaca. Jika semua pihak tidak menggembleng tenaga, masakan karya-karya yang ada akan mendapat sambutan.

Seperti pesan pujangga dahulukala: Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing; ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Marilah sama-sama kita memberikan sokongan kepada industri penerbitan tempatan. Itu adalah tanggungjawab kita bersama.

12 maklum balas:

Unknown berkata...

Salam Amir... OD terharu membaca apa yang Amir tuliskan dalam entri terbaru ini. Jutaan terima kasih OD ucapkan.

Kekurangan menetap di luar Malaysia ialah 1: OD tidak nampak sambutan pembaca terhadap novel-novel genre sebegini. 2: Tidak dapat menggembeleng tenaga untuk mempromosikan novel-novel sehebat-hebatnya secara fizikal.

Justeru, OD mencari jalan bagaimana OD dapat lakukannya sedaya yang mampu dari sini.

Apa yang sering bermain di minda ialah, bagaimana hendak 'menangkap' mereka yang berpengaruh dan sering menjadi trendsetter untuk menyebarkan maklumat tentang novel-novel kita. Mereka hanya perlu kata, "Novel Ombak Senja best giler". Cukup.

Siapa mereka? Itu yang kita kena usahakan.

Contohnya, novel trilogi The Lord of The Rings. Sebelum Peter Jackson menjadikannya sebuah filem, sambutan novel itu tidak seberapa. Malah, jualannya dan harga novel tersebut tidak begitu memberangsangkan.

Kini... lihat apa yang terjadi. Semakin banyak karya-karya lama JRRR Tolkien yang keluar di pasaran dengan harga yang tidak munasabah, namun, masih orang membelinya.

Di Malaysia, siapakah yang berpengaruh yang boleh menjadi penggerak untuk memulakan kegilaan ini?

Bagaimana hendak mencari mereka ini?

Kalau kita dapat 'tangkap' mereka, insyaALLAH, kita hanya perlu memastikan karya kita seterusnya mampu mempertahankan kegilaan tersebut. OD nak cari siapa mereka.

Tanpa Nama berkata...

Salam OD, terima kasih kerana meninggalkan jejak di sini. Tahniah di atas kelahiran "Ajak Kadir." Saya setuju dengan pandangan OD. Memang kita perlu mencari "trendsetters" yang boleh menggerakkan kegilaan tentang satu-satu buku. Cabarannya sekarang adalah untuk mengenal pasti golongan ini.

Miss Nukleas berkata...

salam.

saudara Amir, di sinilah orang Melayu perlu membentu keyakinan thadap bangsa sendiri. Bagi sokongan, baca karya saudara seagama dan sebangsa...kerana karya itu lebih dekat dengan jiwa dan adat budaya kita. Yang datang dari barat tak semestinya terbaik. Kadang2 media barat yang byk mpengaruhi media tempatan memomok2kan karya2 dari barat sebagai terbaik.Ini adalah pengaruh bawah sedar.

Namun, sebagai bangsa yang ada jatidiri, kita seharusnya cuba bangkit dan buktikan kemampuan kita. Cari pembahruan dan perlu lebih kreatif dalam berkarya. Tahniah kepada penulis2 karya fantasi anak tempatan. Anda berani mencuba dan berusaha m'buktikan Malaysia Boleh.

Tanpa Nama berkata...

Ejen pemasaran dan promosi syarikat perlu bekerja kuat untuk mencapai hasrat itu. Saya fikir itulah diantara kelemahan ketara yang ada di sini. Promosi hanya bersifat 'mulut ke mulut' - seeloknya dua2 berjalan, tambahan pula dengan kekangan teori yang pelbagai - saya kira amat meyulitkan penulis genre fantasi dan juga yang lain. Harap2 ada jugalah perubahan dalam setahun atau dua tahun ini. Perkara ini seharusnya lama sudah ditangai - kalau hanya harap kempen membaca membaca yang ditempek gambar2 artis meratas itu takkan menjadi sekiranya mereka sendiri tak baca. Apa yang diperkatakan oleh Kak Opah itu memang benar. Emm kalau sahajalah syarikat2 penerbit melakukan promosi dengan keras, saya kira hasrat dan matlamat ini bisa terhasil dengan izin Allah.

SF

Tanpa Nama berkata...

Salam buat saudari Dina. Terima kasih atas maklum balas. Ya, memang saya setuju bahawa kita perlu mencari pembaharuan dan meningkatkan kreativiti dalam pengkaryaan. Pada waktu yang sama juga, penerbit perlulah berani untuk menerbitkan karya-karya yang tidak konvensional, dan pembaca pula perlu membuka minda untuk menerima sesuatu yang luar dari kebiasaan.

Tanpa Nama berkata...

Saudara SF, saya rasa sentimen saudara mengenai masalah pemasaran dikongsi oleh kebanyakan penulis. Dan saya juga setuju bahawa masalah ini sepatutnya sudah lama ditangani. Cuma perlu ada tindakan bersepadu dan bersungguh-sungguh dari semua pihak untuk mengatasi masalah ini.

Unknown berkata...

Salam Amir...
Aina Emir, tuan punya KarnaDya Solutions memberi pendapat beliau dari segi bisnes, sebagai orang bisnes dan penerbit buku.
Pada pendapat OD, nyata kita terpaksa menunggu masa yang lama kerana meletakkan nasib kita di tangan 'orang lain'. Nampaknya, kita tidak boleh mencari trendsetter atau 'mereka yang berpengaruh'. Kita kena MENCIPTA mereka untuk mewakili kita. Ada sesiapa yang sanggup turun padang?

Unknown berkata...

Maaf, pendapat Kak Aina ada di blog OD - komen untuk entri Baca Jangan Tak Baca.

Tanpa Nama berkata...

OD, terima kasih atas makluman mengenai pandangan Aina Emir. Saya akan ke blog OD untuk baca.

JIE berkata...

Salam Amir,

Yang berada disekeliling saya yang membaca novel tempatan (pembaca 'layman' macam saya) kebanyakannya remaja sekolah menengah dan kalau dewasa, golongan kakitangan sokongan. Saya rasa dari segi harga, novel tempatan berada dalam lingkungan harga yang mampu dibeli oleh semua orang.

Mungkinkah sekarang perlu difikirkan bagaimana untuk menarik pembaca dari golongan profesional dan pembaca bukan melayu?

Saya teringat masa sekolah menengah dulu, setiap tahun ada saja novel tempatan yang dipilih sebagai 'teaching tool' untuk subjek BM (sekarang ada lagi ke?). Mungkin ini salah satu cara untuk menerap minat pembaca pelbagai ras ke atas novel tempatan?

Tanpa Nama berkata...

Cadangan yang menarik mengenai 'teaching tool'. Cuma saya tak pasti sama ada masih berjalan atau tidak pendekatan ini. Nanti boleh cuba dapatkan maklumat lebih lanjut.

Terima kasih atas pandangan.

Unknown berkata...

Saya peminat novel fantasi, dan setakat ini saya belum lagi jumpa novel melayu fantasi yang bagus. Mungkin cara penceritaan itu tidak 'hidup'. Saya rasa tak semestinya memasukkan 'Melayu di dalam cerita kita, bermakna kita perlu meMelayukan hasil karya kita.

Pada saya, novel fantasi boleh dibawa ke arah Islamik. Itu lebih baik. Tidak semestinya perlu guna kosa kata macam Hang Tuah kalau nak cerita bahagian kepahlawanan.

Cerita tak boleh terlalu serius. Mesti hidup, bermakna pembaca boleh bernafas, rasa, hidu, sedih, sakit sama seperti watak yang cuba diceritakan. Kita boleh belajar daripada karya fantasi Barat.

Terus terang saya katakan. Karya kita masih belum memanfaatkan konsep 'mendalami' sesebuah cerita yang ditulis. Kita bukan berfalsafah, tetapi kita sedang menggambarkan cerita itu pada seseorang. Tiada sesiapa yang suka falsafah sepenuh masa.

Harap membantu. As salam.