Sabtu, 12 Mei 2007

Cabaran seorang novelis

Menulis tidaklah semudah yang disangka oleh sesetengah orang. Kalau menulis kerja yang mudah, pasti semua orang akan memilih kerjaya penulisan. Hakikatnya, penulisan - apa lagi penulisan novel - adalah suatu perkara yang mencabar daya pemikiran dan kreativiti si penulis.

Bukan mudah untuk memikirkan satu-satu jalan cerita yang benar-benar asli. Bagi novel kedua yang sedang ditulis ketika ini, sudah beberapa kali jalan ceritanya aku ubah. Ada kalanya aku tidak berpuas hati dengan apa yang telah ditulis. Ada ketikanya pula aku terjumpa kisah (baik di televisyen atau buku) yang mempunyai terlalu banyak persamaan dengan jalan ceritaku. Jadi aku ubah suai semula kisah ini beberapa kali.

Proses ubah suai plot ini sebenarnya begitu meletihkan, dan ada kalanya memeningkan kepala. Apa lagi apabila "Transgenesis" - itu tajuk yang digunakan pada waktu ini - menggabungkan unsur-unsur misteri, aksi dan fiksyen sains. Novel ini jauh sekali berbeza dengan novel sulungku "Ombak Senja" yang merupakan sebuah kisah realiti masyarakat yang bertemakan pengorbanan dan cinta agung.

Sama ada percubaan untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza ini berjaya atau tidak, ini hanya akan diketahui apabila novel ini menemui pembaca. Pembacalah yang akan menentukan sama ada pendekatan yang digunakan untuk novel kedua ini berjaya atau sebaliknya.

Aku pernah coretkan yang aku sasarkan agar manuskrip novel ini siap sekitar bulan April, tetapi kerana hambatan tugas hakiki dan proses menulis semula plot novel ini yang mengambil masa, maka aku terpaksa membuat penyesuaian kepada hasrat asalku itu. Apapun, lebih kurang jam 2.00 pagi tadi, aku telah berjaya menyiapkan plot novel kedua ini. Beberapa bab telah juga ku siapkan. Apa yang aku perlu lakukan sekarang ialah meneruskan proses penulisan bagi bab-bab lain.

Novelis Izza Aripin yang telah membaca salah satu bab novel ini mencadangkan agar aku hantarkan manuskrip novel kedua ini untuk Pertandingan Hadiah Sastera Utusan. Setelah berfikir untuk sekian lama semenjak cadangan itu pertama kali dilontarkan, insya-Allah, itulah yang akan aku lakukan sebaik manuskrip "Transgenesis" disiapkan.

1 maklum balas:

PENCINTA berkata...

Sememangnya cabaran menghasilkan karya kreatif amat menggugah ketahanan mental dan fizikal. Adakalanya mengambil masa yang terlalu panjang dan pada ketika yang lain perlu diubahsuai dan sebagainya. Syabas, sdr. telahpun menghadapi cabaran ini dan hasilnya Ombak Senja sudah menemui khalayaknya. InsyaAllah akan segera saya mendapatkan karya tersebut. Mohon sdr. dilimpahi kekuatan dan ketekunan untuk terus berkarya