Jumaat, 25 Mei 2007

Apa ada pada nama?

Soalan "apa ada pada nama?" dilontarkan oleh William Shakespeare kerana baginya, "jika nama lain diberikan kepada bunga mawar sekalipun, ianya masih tetap harum."

Semalam, aku berbicara dengan novelis Izza Aripin mengenai satu projek penulisan. Soalan mengenai nama berbangkit dalam perbincangan kami. Beliau berkongsi pemerhatiannya bahawa sesetengah penerbit agak keberatan menerbitkan hasil penulisan penulis lelaki. Ini kerana pandangan umum adalah penulis wanita lebih berkesan dalam meruntun jiwa pembaca berbanding penulis lelaki. Sebab itulah ada penulis lelaki yang menggunakan nama pena yang bersifat kewanitaan atau nama yang tidak menampakkan jantina supaya karyanya mendapat tempat di pasaran. Kata Izza Aripin lagi, memang taktik ini menampakkan hasil yang dikehendaki oleh penerbit.

Secara peribadi, aku kurang bersetuju dengan persepsi dan langkah yang sedemikian. Bagiku, jantina penulis tidak penting. Perkara yang lebih penting adalah kualiti penulisan. Namun, hakikat di luar sana berlainan dengan pandangan peribadi ini. Realitinya seperti yang dinyatakan oleh Izza Aripin. Nama penulis memainkan peranan dalam menarik perhatian pembaca novel untuk membeli novel yang berada di rak buku.

Aku katakan kepada Izza Aripin bahawa sekiranya penerbit mahu aku menggunakan nama pena yang lain, aku tidak bersetuju. Ini adalah prinsip diriku sebagai penulis. Nama "Amir Husaini" akan terus ku guna selagi hayat di kandung badan, insya-Allah.

4 maklum balas:

Miss Nukleas berkata...

Askm Amir,

Slm pkenalan dr dina. Dina tabik dgn prinsip Amir hendak gunakan nama sendiri. Pada Dina mmg nama mainkan peranan tapi nama bukan penentu. Ada sebab terttu kenapa pnulis guna nama lain spt Dina, sbb nama asal dina lebih kurang sama mcm nama penulis novel lain. Pnerbit pulak pentingkan nilai komersial yg ada pd nama.
Tapi, lambat laun kalau nama tak sedap pun...penulis lelaki ke...jika karyanya ada kelainan, meruntun jiwa dan memang menarik, apa nak kisah dgn nama! Orang beli jugak akhirnya...

Tanpa Nama berkata...

Wslm Dina,
Saya perlu perbetulkan bahawa sebenarnya "Amir Husaini" adalah nama pena dan bukan nama sebenar. "Amir Husaini" sebenarnya nama putera sulung saya.
Apa yang dimaksudkan di dalam komentar ini adalah bahawa sekiranya penerbit mahukan nama pena lain digunakan, ianya tidak akan berlaku. Ini kerana saya tidak berhasrat untuk mempunyai lebih dari satu nama pena.
Bagaimanapun, saya setuju dengan komen saudari Dina bahawa tidak perlu dikisahkan tentang nama, kerana jika karya baik, insya-Allah akan ada pembacanya.

Miss Nukleas berkata...

Betul juga. Kalau Dina pun, Dina tak berminat mempunyai lebih dari satu nama pena. Pertamanya, akan mengelirukan pembaca. Kedua, penulis memerlukan identiti yang jelas dan ampuh. Mempunyai lebih dari satu nama pena tidak membantu ke arah itu.

Tanpa Nama berkata...

Saya kira memang nama mempunyai peranan penting dalam hidup kita. Terlalu banyak identiti akan menyebabkan ramai orang keliru. Sekuntum mawar, jika dipanggil nama lain sekalipun, akan tetap harum mewangi, tetapi hakikatnya nama lain bagi mawar mungkin tidak orang kenali.
Jadi, dalam hal ini, saya setuju dengan pandangan Dina.