Seperti yang kalian semua mungkin sudah maklum, aku telah menyiapkan novel pertamaku pada tahun 1998 lagi. Tapi aku belum terbitkan lagi novel ini yang aku namakan "Stigma." Aku telah serahkan novelku ini untuk dinilai oleh beberapa orang.
Berikut ialah komen daripada saudara Ali Majod yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka mengenai novel ini:
AMARAN: ADA PENDEDAHAN SEDIKIT SEBANYAK TENTANG PLOT CERITA INI DARIPADA ULASAN YANG DIBERIKAN. SEKIRANYA ANDA TIDAK MAHU TAHU PERJALANAN KISAH INI, ELOKLAH BERHENTI DI SINI.
Persoalan:
Persoalan manuskrip ini suatu persoalan yang menarik iaitu keagungan cinta. Ketulusan hati dan kesabaran yang luar biasa tertonjol di dalamnya. Memang betullah, cinta akan mengatasi semua rintangan.
Latar kepada persoalan ini ialah masalah penyakit AIDS. Watak utamanya menghadapi masalah penyakit ini dan dia berkahwin dan beranak.
Inilah persoalan sebenarnya. Setakat mana kemampuan kita mendalami persekitaran penyakit AIDS ini. Penilai sendiri berasa gelap dan tidak dapat menentukannya. Ini kerana pengetahuan penilai sendiri dengan mangsa penyakit ini agak terbatas. Yang penilai tahu apabila mangsa penyakit ini meninggal, pihak hospital yang menguruskan semuanya. Dan mayatnya dibungkus dengan plastik. Apabila dibawa balik terus sahaja dikebumikan. Warisnya dilarang menceritakan apa yang dilihatnya pada mayat itu.
Maka itu manuskrip ini kepada pihak mana yang mahu menerbitkannya. Ini juga satu persoalan lagi.
Struktur penceritaan:
Tiada masalah dalam teknik penceritaan manuskrip ini. Pengarang mengolah persoalannya dengan baik dan menarik. Plotnya berjalan lancar dan agak kompleks sifatnya kerana dibumbui oleh flash back di sana sini.
Konflik dibina dengan baik oleh pengarang. Terasa pengarang orang yang sudah berpengalaman menulis. Ini kerana struktur binaan novel muncul dengan baik sekali.
Watak dan perwatakan digambarkan dengan jelas dan dapat dibayangkan oleh pembaca sama seperti manusia berdarah dan berdaging - manusia biasa. Pelukisan perwatakan ini berjaya ditonjolkan oleh pengarang.
Penggunaan bahasanya juga baik. Amat serasi penggunaan bahasa dengan latar dan persoalan. Ada unsur-unsur falsafah lewat penggunaan bahasanya. Maka itu gerak watak dengan latar menjadi sangat jelas dan hidup.
Kesimpulan:
Manuskrip ini bagus dari segi persoalan, iaitu keagungan cinta. Dan teknik penceritaannya juga baik, bersahaja dan organik sifatnya. Ada unsur konflik yang mewarnai jalinan plotnya.
Wallahua'lam.
Aku sengaja kongsikan pandangan saudara Ali Majod yang memberikan ulasannya sekitar tahun 2000 yang lalu. Aku masih simpan lagi ulasannya ini dan apa yang diperturunkan di atas adalah keseluruhan ulasannya tanpa disunting sepatah perkataan pun.
Beberapa perkara yang telah aku lakukan berdasarkan input ulasan ini:
- Aku telah hubungi seorang pakar penyakit AIDS di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk memastikan agar fakta di dalam kisah ini tepat (terutamanya yang melibatkan perkahwinan dan pengurusan jenazah).
- Semenjak tahun 2000, aku juga telah membuat sedikit penulisan semula kepada kisah ini mengambil kira perkembangan-perkembangan semasa.
Aku cuma berdoa agar manuskrip ini akan diterima untuk diterbitkan.
1 maklum balas:
(nampak amaran je, terus berenti baca...tanak tau tentang plot cerita Stigma sebab belum habis baca)
hehehe...
Catat Ulasan