Khamis, 29 Januari 2009

Musibah

Sebagai orang Islam, aku mempercayai kepada qada dan qadar. Ada masanya kita diuji dengan cara yang menyakitkan. Dan sakit itu tidak semestinya sakit yang berbentuk jasmani. Ada sakit yang tidak dapat dilihat orang.

Aku diuji semalam. Satu ujian yang amat menyeksakan bagi seorang penulis. Sebenarnya ujian ini bermula pada minggu lepas.

Segala fail hasil penulisan disimpan di dua tempat. Satu disimpan pada sebuah komputer yang aku gunakan semenjak tahun 2000. Satu lagi disimpan pada sebuah pendrive. Minggu lalu, komputer yang aku gunakan itu terpaksa dihantar ke kedai kerana unit pemprosesan utama (CPU) crash. Aku diberitahu agak mustahil untuk mendapatkan semula fail-fail yang disimpan pada komputer tersebut. Malah, aku diberitahu supaya beli sahaja komputer yang baru.

Aku redha. Tidak mengapa. Masih ada back-up pada pendrive yang aku gunakan.

Tetapi semalam, pendrive aku tercicir entah di mana. Puas aku mencari di tempat-tempat yang aku singgah semalam, namun tidak bertemu dengan yang dicari.

Aku terasa kehilangan sebahagian daripada diriku. Di dalam pendrive itu tersimpan lebih 150 makalah yang pernah aku tulis bagi majalah, akhbar dan jurnal semenjak 1998; lebih 100 kertas kerja yang telah aku bentang di dalam dan luar negara; lebih 100 slaid power point yang aku gunakan ketikan menyampaikan ceramah; tesis sarjana yang aku siapkan pada 2005; tesis doktorat yang sedang aku usahakan; dua buah buku yang sedang aku siapkan termasuk memoir adik Fikri bertajuk "Echoes of My Heart"; dua novel yang telah terbit iaitu Ombak Senja dan Transgenesis: Bisikan Rimba; tiga cerpen/nopen yang telah siap tetapi belum terbit iaitu "Kilt dan Kimono", "Menagih Janji Langit Malam" dan "Mencari Nessie"; skrip drama televisyen "Zuriat" yang memenangi tempat kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio Berunsur Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia; dan dua novel yang sedang aku karang iaitu sekuel Transgenesis dan "Koloni n4n0".

Sepuluh tahun hasil tanganku kini tinggal kenangan. Terasa seperti sebahagian besar hidupku hilang begitu sahaja. Terasa kosong tiba-tiba.

Ya, ada antaranya aku simpan dalam bentuk salinan keras dan ada yang telah terbit. Tetapi ada yang memang tidak ada disimpan dalam bentuk lain terutamanya yang belum diterbitkan seperti "Kilt dan Kimono", "Menagih Janji Langit Malam", "Mencari Nessie", sekuel Transgenesis, "Koloni n4n0", "Echoes of My Heart" dan tesis PhD.

Ini semua ujian daripada-Nya. Aku redha dengan ketentuan ini. Aku yakin ada hikmahnya.

Namun, aku ingin pohon maaf kepada kalian semua.

Aku ingin pohon maaf kepada adik Fikri. Memoir "Echoes of My Heart" telah hampir siap ditulis. Segala perasaan adik Fikri aku terjemahkan ke dalam bentuk tulisan. Aku sendiri tersentuh dengan apa yang ditulis. Namun, kini aku terpaksa menulisnya kembali.

Aku ingin pohon maaf kepada yang menantikan sekuel Transgenesis terutamanya kepada pembaca yang setia menanti dan kepada saudara Mat Jan, editor PTS Fortuna. Apa yang telah aku tulis kini tiada lagi. Aku tidak pasti sama ada aku punya kekuatan sekarang ini bagi menulis semula apa yang telah aku tulis. Yang pasti, jika aku mulakan kembali penulisan ini, ia tidak akan sama dengan apa yang telah aku siapkan.

Aku juga ingin pohon maaf kepada saudara Rozlan Mohamed Noor, editor di Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd kerana "Koloni n4n0" yang aku janjikan untuk Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi juga telah tiada lagi. Ya, aku boleh menulis semula kisah itu. Tetapi entah bila agaknya aku punya kelapangan bagi mengulang tulis cerita yang telah hampir siap itu.

Aku tidak tahu dan tidak berani berjanji mengenai bila masanya aku akan menulis semula apa yang telah hilang. Kala ini aku tidak punya mood untuk menulis. Sekadar cuba mengumpul kekuatan bagi mendapatkan semula fail-fail yang berkaitan tugas hakikiku.

Dan pada waktu ini, aku sekadar mahu menenangkan kembali diri dan menghilangkan rasa sakit dalam diri ini.

5 maklum balas:

Unknown berkata...

Salam Amir...
Akak doakan semoga Amir jumpa balik pendrive tu. InsyaALLAH, Amir akan dapat balik.
Anyway, bukan nak memandai tetapi akak harap, lepas ni Amir setiap kali Amir menulis (walaupun baru satu chapter saja) Amir emel manuskrip itu kepada diri sendiri. Memang renyah tapi sekurang-kurangnya, bila musibah begini menimpa, kita ada second back-up, betul tak? I won't say anything but I understand how you must feel. It happened to me once. So I started emailing myself the mss.
All the best.

JIE berkata...

Salam amir,

Mmmm... Kilt & Kimono, TG and TG2, I may be able to help you here :-)

aBoi berkata...

ini semua dugaan daripada Allah SWT...
saya tetap menyokong dan menanti sekuel Transgenesis...=)

~chaiyok!

Rozlan Mohamed Noor (RMN) berkata...

Tentu saja Tuhan menyembunyikan hikmah di sebaliknya. Bersabar, dan istiqamah dalam usaha ke hdapan. InsyaAllah... kejayaan pasti dtg dalam pelbagai cara.

dahirisaini berkata...

Sdra amir, kdgkala apa yg berlaku itu ketentuan yg maha berkuasa, apa yang kita harus buat beristigfar sebyknya. Semoga yg sirna itu dpt kembali. salam.

sya dah guna ruaicipta.blogspot.com
sbb yg dulu dicerobohi manusia yg bijaksana.