Jumaat, 11 Julai 2008

Maklum balas awal "Transgenesis: Bisikan Rimba"

Alhamdulillah, Transgenesis: Bisikan Rimba kini berada di pasaran. Dan aku sudah mula menerima maklum balas daripada sahabat dan pembaca.

Pertama, daripada saudara John Norafizan, novelis terkenal, yang telah sudi membaca dan mengulas novel kedua hasil tanganku ini. Ulasan penulis yang kini panas dengan karya terbaru beliau iaitu Garis-garis Deja Vu ini boleh didapati di sini atau di sini atau di sini. Berikut ialah di antara intipati ulasan beliau:

Pada aku, Transgenesis adalah karya terbaik Amir Hussaini setakat ini. Ombak Senja memang karya yang bagus, tetapi Transgenesis lebih lagi! Dia bijak memainkan plot penceritaan dengan misteri demi misteri yang membuatkan aku, tidak dapat tidak, harus membaca ceritanya sehingga ke muka surat terakhir. Kadang-kadang, bila aku seolah-olah tahu ‘apa yang akan berlaku selepas itu’, dia membuat twist 180 darjah dan membuat telahanku salah sama sekali.
Kedua, perbincangan di Forum Cari. Ini komen daripada Darius di forum tersebut yang juga mempunyai blog resensinya sendiri:
Saya akan paparkan ulasan penuh saya di blog resensi saya alamnovel.blogspot.com tidak lama lagi.

Cuma kalau ditanya apa perasaan saya semasa baca "Transgenesis: Bisikan Rimba", respons saya ialah ia umpama satu 'roller coaster ride.' Setiap bab ada unsur-unsur misteri dan saspens, dan banyak sekali rahsia dan 'twist'. Saya setuju dengan pandangan Lavender, satu rahsia akan membawa kepada satu rahsia baru. Bila kita sangka kita tahu siapa pembunuhnya, abang Amir buat satu 'twist' libasan maut yang menyebabkan sangkaan kita jauh meleset. Dan yang menariknya, setiap 'twist' itu amat logik dan tidak memperbodohkan pembaca. Apabila saya membaca 'twist' itu membuatkan saya baca balik beberapa bab terdahulu kerana ada 'clue-clue' yang telah ditaburkan di dalam bab terdahulu yang saya tidak perasan. Saya rasa ada beberapa kali saya geleng kepala sebab 'twist' cerita itu begitu 'obvious' tetapi saya tak perasan. Watak yang menjadi dalang cerita ini juga memang tidak disangka langsung - sampaikan saya ternganga besar bila dapat tahu siapa dalangnya. "So obvious, yet so subtle."

"Transgenesis: Bisikan Rimba" bagi saya adalah di antara cerita fiksyen sains yang paling menarik yang pernah dibaca setanding dengan fiksyen sains luar negara. Ada sekurang-kurangnya enam plot 'cliffhanger' yang saya harap akan disambung oleh abang Amir. Kalau tak sambung, saya akan jadi orang yang paling kecewa.


Dan watak Flora adalah di antara watak yang paling enigmatik yang pernah muncul di dalam karya sastera negara.
Dan ini pula komen yang dikirimkan menerusi e-mel oleh salah seorang bekas pelajarku iaitu saudari Fiey yang sedang menuntut di Universiti Malaya. [Nota: "Shaikh" yang disebut di dalam e-mel ini merujuk kepada nama sebenarku]. Tulisnya antara lain:

Transgenesis bagi saya sangat istimewa sebab menggabungkan fakta sains dalam dunia fantasi, yang mana tak mustahil ia akan menjadi realiti. Bila baca Transgenesis, semua yang Tuan Shaikh cakap dalam kuliah kembali bermain di fikiran, tentang pengklonan, tentang transgenik, chimaera, saya rasa macam berada dalam kuliah balik.. hehe..dan bagi saya, tiada masalah untuk memahami semua istilah-istilah sains yang Tuan Shaikh gunakan sebab memang bidang saya. Namun, ia memenuhi juga kehendak orang awam sebab Tuan Shaikh dah menerangkan makna istilah-istilah tu dalam bahasa yang mudah difahami.

Transgenesis juga berjaya membawa pembaca terus menerus mahu membaca sehingga ke akhirnya dan tak boleh tertinggal sehelai muka pun untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku. Bagi saya, jalan ceritanya sangat kreatif dan kita tak boleh nak bayangkan apa akan terjadi seterusnya.

Apa yang menarik minat saya terhadap Transgenesis juga adalah, Tuan Shaikh banyak mengaitkan cerita ini tentang kebergantungan manusia kepada Allah. Kepentingan meletakkan Maha Pencipta dalam segala hal. Secara tak langsung, elemen dakwah Tuan Shaikh terapkan, tahniah! Selain itu, aspek kasih sayang kepada alam semulajadi juga berjaya membuatkan pembaca benar-benar merasai kelebihannya dan kepentingannya kepada manusia. Sesekali rasa macam nak jadi seperti Flora.hehe..

Sudah tentunya ini lebih baik dan nampaknya lebih matang daripada novel pertama. Apapun, masih boleh diperbaiki lagi dan para pembaca pastinya menunggu sambungannya.
Kepada saudara John Norafizan, saudara Darius dan saudari Fiey, dipanjangkan ucapan jutaan terima kasih jujur dari sanubariku. Maklum balas ikhlas daripada kalian amat dihargai.

Kepada yang sudah membaca Transgenesis: Bisikan Rimba, diharap dapat memberikan maklum balas kepada diriku ini supaya aku dapat memperbaiki kelemahan yang ada. Aku boleh dihubungi menerusi e-mel tintakelana@yahoo.com bagi memberikan maklum balas. Aku nantikan pandangan kalian.

0 maklum balas: