Khamis, 13 September 2007

Inilah kisahku [Bahagian 6]

Dari mana datangnya idea untuk Ombak Senja? Mengapa aku pilih tajuk Ombak Senja? Mengapa aku pendamkan Ombak Senja begitu lama sebelum diterbitkan sekalipun manuskrip ini siap pada tahun 1997? Ini merupakan di antara soalan yang kerap dilontarkan.

Idea untuk Ombak Senja (novel) sebenarnya lahir apabila aku membuat penyelidikan mengenai HIV/AIDS untuk satu makalah yang aku tulis pada awal tahun 1997. Penyelidikan ini membuka mata aku tentang stigma masyarakat yang begitu mendalam terhadap mereka yang mempunyai HIV/AIDS. Jadi novel ini aku tulis sebagai satu usaha untuk memupuk kesedaran tentang isu yang masih dianggap sebagai sensitif di dalam masyarakat kita.

Tajuk Ombak Senja dipilih sebagai satu penghormatan atau homage kepada cerpen pertama yang aku tulis. Kebetulan juga aku memang suka pemandangan di tepi pantai apabila senja mula menyingsing. Ini ditambah pula dengan makna metafora yang tersirat di sebalik tajuk ini dengan watak utama kisah ini iaitu Hairi. Kehidupan dan cabaran yang dilalui oleh Hairi penuh dengan seribu satu macam onar dan duri. Kepayahan ini ibarat dilambung ombak yang menghempas pantai. Dan Hairi pula sedang meniti hari-hari terakhir hidupnya. Dalam kata lain, Hairi sedang melalui hari-hari senjanya. Jadi secara simboliknya, Ombak Senja itu menggambarkan cabaran kehidupan yang dilalui Hairi di hujung hayatnya.

Aku sebenarnya mengambil sedikit masa untuk menghantarkan naskhah Ombak Senja ini kepada penerbit. Pada ketika aku benar-benar berpuas hati dengan naskhah yang aku hasilkan ini, aku telah meninggalkan tempat kerja lamaku untuk berhijrah pula ke sebuah institusi pemikir Islam yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Pada waktu itu, aku tidak pasti sama ada institusi pemikir Islam ini membenarkan pekerjanya untuk menulis karya-karya kreatif ini. Tambahan pula, aku merupakan di antara mereka yang menulis pelbagai makalah ilmiah di samping menghasilkan pelbagai jenis buku. Aku bimbang jika aku terjun ke dalam dunia penulisan kreatif, orang akan jadi keliru. Pasti akan ada yang bertanya, "Siapa dia sebenarnya? Pemikir atau novelis?"

Hakikatnya memang ada yang melontarkan soalan itu kepada aku. Aku dapati di negara ini sukar untuk orang menerima seseorang yang boleh melibatkan diri di dalam pelbagai perkara. Seolah-olah sukar untuk membayangkan seorang yang berkelulusan sains bekerja di sebuah institusi pemikir Islam untuk memberi kefahaman tentang isu-isu semasa yang timbul dan pada waktu yang sama boleh menghasilkan karya kreatif. Ianya seperti suatu perkara yang janggal walhal di Barat kita ada penulis novel yang juga seorang profesional seperti saintis, jurutera dan peguam.

Aku teringat semasa aku dipanggil untuk temu duga, aku telah ditanya berkenaan perkara yang hampir serupa. Mengapa aku suka buat pelbagai perkara yang tiada kaitan di antara satu sama lain? Sudahnya nanti, apa yang aku inginkan dari hidupku? Ketika itu aku tersentak dengan soalan itu tetapi secara spontan aku menjawab, "Jika dulu Tamadun Islam bangga dengan tokoh-tokoh seperti Ibn Sina yang menguasai pelbagai bidang seperti matematik, kimia, perubatan, falsafah, muzik dan sebagainya, mengapa tidak kita ada orang seperti itu pada zaman ini?" Bila aku fikirkan kembali, agaknya jawapan inilah yang menyebabkan aku mendapat kerja di institusi tersohor tersebut.

Berbalik kepada soal menerbitkan manuskrip Ombak Senja. Aku beranikan juga bertanya tentang perkara ini kepada Ketua Pengarah institusi itu pada ketika itu. Baru aku tahu bahawa beliau juga pernah menghasilkan karya-karya kreatif terutamanya semasa waktu dia berada di Universiti Al-Azhar. [Malah ketika aku bertemu dengannya baru-baru ini, dia masih lagi aktif menghasilkan karya-karya kreatif]. Ketuaku tidak ada halangan untuk aku bergelumang di dalam dunia penulisan kreatif, malah dia sendiri menggalakkannya.

Jadi pada awal tahun 1999, atas galakan novelis yang kini dikenali sebagai Rabiatul Adawiyah, aku telah menghubungi sebuah syarikat penerbitan untuk menghantar manuskrip tersebut untuk dipertimbangkan.

[Bersambung...]

0 maklum balas: