Sebenarnya bagi aku, perkara yang paling sukar adalah untuk memulakan penulisan, tidak kiralah sama ada penulisan ilmiah (kertas kerja, makalah ilmiah dan seumpamanya) atau penulisan kreatif (novel, cerpen, puisi atau skrip). Lazimnya aku akan perlukan beberapa percubaan sebelum dapat memulakan satu-satu penulisan yang benar-benar akan memberikan kepuasan kepada diri.
Apabila penulisan telah berjaya dimulakan, bermakna aku telah berjaya menghayati apa yang aku garap itu. Jika aku menulis novel atau cerpen, maka bermakna aku berada di dalam "dunia" yang aku "cipta" untuk watak-watakku di dalam pengkisahan itu. Aku dapat menyelami perasaan watak-watak ini dan aku tahu apa yang difikirkan oleh mereka. Lantas, apabila ini dapat ku lakukan, maka mudahlah untuk aku memenakan perasaan dan pemikiran watak-watak ini ke atas kertas. Aku akan dapat "memberitahu" pembaca apa yang sedang berlegar di dalam benak watak-watak kisah yang ku tulis. Meminjam kata-kata Ali Majod yang memberikan komen tentang novel sulungku, "Ombak Senja":
Watak dan perwatakan digambarkan dengan jelas dan dapat dibayangkan oleh pembaca sama seperti manusia berdarah dan berdaging - manusia biasa.Bagiku, jika aku gagal menggambarkan watak-watak cerita yang ku tulis, maka aku telah gagal menghayati ceritaku sendiri. Jika ini gagal aku lakukan, tidak ada maknanya bagi ku untuk meneruskan ceritaku. Sebab itulah aku rasakan cabaran yang paling besar dan perkara yang paling sukar untuk dilakukan adalah untuk memulakan penulisan. Plot cerita mungkin sudah ada, tetapi selagi mana plot itu belum diterjemahkan ke dalam bentuk penceritaan, maka proses pengkaryaan belum bermula.
Aku bersyukur kerana akhirnya aku berjaya memulakan proses penulisan bagi novel kedua, yang buat masa ini aku namakan "Transgenesis." Dari tajuk ini sahaja, sudah boleh diagak bahawa genre novel ini adalah fiksyen sains yang sama sekali berbeza dengan novel pertama yang bakal terbit awal tahun 2007 ini iaitu "Ombak Senja." Untuk makluman, aku dasarkan kisah ini kepada sebuah cerpen bahasa Inggeris yang pernah aku karang pada tahun 1991 yang bertajuk "Flora."
Apapun, aku berdoa agar proses memindahkan kisah daripada kotak fikiran ke kertas akan berjalan dengan lancar, insya-Allah. Aku telah tetapkan matlamat agar manuskrip ini siap menjelang terbitnya novel "Ombak Senja."
0 maklum balas:
Catat Ulasan